Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan negeri meningkatkan komitmen dalam program kerjasama dengan pihak swasta bagi memajukan tebing-tebing sungai serta kawasan sekitar koridor sungai bagi mengatasi masalah tapak-tapak pembuangan sampah haram.

Beliau berkata kerjasama sedemikian dapat mengurangkan kes pencerobohan kawasan tebing sungai, membanteras pewujudan tapak-tapak pembuangan sisa pepejal secara haram serta berpotensi meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar.

Ahmad Zahid berkata RM80.95 juta diperlukan setahun bagi menyelenggara sampah di dalam sungai dengan anggaran purata semasa RM3,000 bagi mengeluarkan satu tan sampah dari sungai.

"Secara dasarnya Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan kira-kira 2,268.6 tan sampah sebulan semasa kerja-kerja penyelenggaraan sungai di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara ke-10 di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; menteri-menteri persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Ahmad Zahid berkata komitmen kerajaan negeri amat dituntut memandangkan pembuangan sampah secara haram di tebing dan di dalam sungai semakin membimbangkan serta menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai selain menyebabkan bencana banjir menjadi semakin serius.

Menurut timbalan perdana menteri masalah pembuangan sampah secara haram di tebing sungai dan di dalam sungai merupakan satu daripada tiga kertas pertimbangan yang disentuh dalam mesyuarat tersebut yang berlangsung selama hampir dua jam.

Katanya dua lagi kertas pertimbangan adalah mengeni pengurusan pengambilan pasir sungai dan strategi untuk menangani isu-isu berkaitan air akibat impak perubahan iklim.

Menghuraikan mengenai pengambilan pasir sungai, Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini bersetuju supaya Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2012) diperhalusi semula bagi memastikan pengusaha pasir diberi skop lebih jelas serta menekankan elemen kebertanggungjawaban dalam menjalankan aktiviti pengambilan pasir sungai.

Tegasnya pelanggaran syarat kelulusan permit oleh pengusaha pasir boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk setempat akibat kualiti air sungai yang merosot.

"Selain daripada itu, ia turut memberi impak kepada kegiatan ekonomi seperti perikanan serta eko-pelancongan, peningkatan kos projek tebatan banjir dan penyelenggaraan sungai," kata Ahmad Zahid.

Menyentuh mengenai impak perubahan iklim terhadap air, Zahid berkata majlis bersetuju dengan cadangan Pelan Strategik Menangani Impak Perubahan Iklim Mengenai Isu Berkaitan Air di Malaysia yang dirangka Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersandarkan pengurusan sumber air bersepadu dan disokong aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) supaya langkah mitigasi berkesan dapat dijalankan.

Selain itu, empat kertas makluman turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk Memperkasakan Pengurusan Sumber Air Secara Holistik Melalui Rang Undang-Undang Sumber Air Negara; Aplikasi Teknologi Biodigester Untuk Mengurangkan Masalah Pencemaran Air; Pembangunan dan Pelaksanaan Keselamatan Air bagi Sistem Bekalan Air Awam dan Pembinaan Tali Air sebagai Pembangunan dan Perlindungan Sumber Air.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada