Skip to main content

Polis, masyarakat berpisah tiada

BERTEMAKAN ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ jelas membuktikan masyarakat sentiasa menjadi kepentingan utama barisan pertahanan negara itu.

Bertepatan dengan hasrat kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memastikan kemuafakatan antara polis dan masyarakat terus terjalin erat, sekali gus berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatannya kepada seluruh rakyat.

Ia juga memperlihatkan betapa pentingnya hubungan saling memerlukan antara polis dan masyarakat.
Namun, tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa, tetapi semua lapisan masyarakat.

Ikuti wawancara khas  wartawan Sinar Harian, SITI ZUBAIDAH MAT ISA bersama Ketua Polis Negara, TAN SRI KHALID ABU BAKAR sempena sambutan Hari Polis ke-208.

Apakah cabaran getir yang dihadapi PDRM setiap hari?

SELAIN kekurangan modal insan yang perlu diseimbangkan dengan pertambahan jumlah penduduk (30 juta), PDRM turut berdepan kekangan di bahagian logistik. Di mana beberapa program perlu ditangguh, termasuk pembelian bagi menggantikan peralatan logistik seperti kenderaan dan senjata.

Kekurangan kediaman di perumahan polis juga antara kekangan yang perlu dihadapai PDRM dalam  menyediakan kemudahan lebih selesa kepada semua anggota.

Kita tidak mahu kekurangan kediaman menyebabkan anggota kita terpaksa menyewa di kawasan setinggan.

Polis sentiasa berdepan pelbagai ancaman luaran terutama isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand dan Sarawak-Kalimantan, Sabah-Filipina. Keadaan geografi sempadan merangkumi sungai, daratan,  bukit-bukau memberi cabaran getir buat pasukan keselamatan untuk memantau pergerakan keluar masuk rakyat di kedua-dua negara.

Namun, masih ada segelintir individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjalankan kegiatan penyeludupan seperti dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia. Jadi kita terpaksa meletakkan sumber yang banyak di sempadan negara bagi memastikan ia tidak mudah dibolosi.

Jenayah merupakan ancaman tradisi kepada polis. Terkini, jenayah siber menunjukkan peningkatan mendadak setiap bulan. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2014, sebanyak 8,140 kes membabitkan jenayah ini dilaporkan.

Banyak kekangan yang dihadapi dalam menyelesaikan kes berkaitan. Contohnya kesukaran mengenal pasti lokasi individu terlibat, kerana kemungkinan ia dilakukan di luar negara.

Jenis kesalahan membabitkan jenayah siber mengikut statistik melibatkan kes penipuan, sebanyak 3,326 kes dilaporkan, spam (1,710 kes), cubaan menceroboh laman web (1,244 kes) dan fitnah melalui siber, mencatat sebanyak 645 kes.

Seterusnya ancaman ekstremis dan  radikal telah mengubah landskap tindakan dan pencegahan PDRM. Fahaman politik dan agama yang ekstremis penyumbang kepada ancaman keganasan dari dalam dan  luar negara serta mengganggu gugat perpaduan nasional.

Antara isu utama yang perlu dihadapi PDRM seperti  hasutan melalui media sosial, penyebaran ajaran sesat, ekstremis kaum, kegiatan anti kerajaan, kumpulan pelampau agama, pengganas dan liberalisme.

Apakah tindakan PDRM dalam mengekang kebangkitan kumpulan militan?

ISU militan akan terus dipantau dan dibanteras daripada mempengaruhi rakyat negara ini. Tindakan tegas diambil termasuk menyenarai dan mengenal pasti individu terlibat cuba merekrut untuk menyertai kumpulan militan terutama IS.
Operasi tangkapan dijalankan di seluruh negara selain menjalin hubungan dengan agensi perisikan asing dan berkongsi maklumat berkaitan bagi mengenal pasti jaringan mereka di peringkat antarabangsa.

Mereka yang ditahan pula akan didakwa mengikutkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Imigresen dan Akta Pasport 1966 bagi warga asing. Kerana itu, perlukan Akta Anti Keganasan bagi menangani isu militan.

Dalam usaha menangani ancaman kumpulan militan terutama IS, beberapa langkah diambil termasuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai bahaya kumpulan ini.

Kita juga mengadakan kerjasama dengan media massa bagi meyebarkan maklumat terkini berkaitan kumpulan terbabit.

Manakala mereka yang telah ditahan, akan diberi perkhidmatan kaunseling bagi memastikan mereka tidak lagi  menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara sebaik dibebaskan.

Penglibatan Tan Sri di laman sosial Twitter dikritik, disalah erti, apa komen Tan Sri?

TUJUAN saya memberi arahan melalui laman Twitter supaya kita bertindak cepat dan pantas terhadap apa juga perbuatan yang melanggar peraturan khususnya kegiatan menghasut dan menyebarkan perkara tidak benar.

Pada pandangan saya, ini kaedah segera dan paling pantas untuk memastikan setiap kesalahan dilakukan tidak tersebar luas. Pada masa sama memberitahu masyarakat bahawa tindakan tersebut tidak betul dan perlu dihentikan serta-merta.

Masyarakat hendak kita bertindak pantas dan apabila berbuat demikian (memuat naik status di Twitter) dikatakan salah dan melanggar hak kebebasan bersuara.

Hak kebebasan bersuara ada hadnya, apatah lagi kita berada dalam  sebuah negara berbilang bangsa, kaum dan agama.

Saya ibarat pengadil, jika mereka melakukan kesalahan,  menjadi tanggungjawab saya memberitahu mereka, ia tidak betul dan tindakan akan diambil.

Berkali-kali amaran diberikan. Berhati-hati ketika menyuarakan pandangan terutama di media sosial. Salah langkah ia boleh mendatangkan ancaman dan mengganggu ketenteraman awam.

Bagaimana sosial media membantu PDRM?

SAYA menerima kritikan yang membina. Mereka di luar sana bebas bercakap apa sahaja. Saya cuma menjalankan tanggungjawab untuk memastikan undang-undang dihormati.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab