Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Sektor pekerjaan 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar perlu ditransformasi daripada segi skim gaji dan persekitaran pekerjaan bagi menarik lebih ramai belia tempatan menceburi pekerjaan dalam bidang berkenaan.

Stigma dan presepsi umum juga perlu diubah untuk memastikan rakyat tempatan dapat menyumbang tenaga dalam sektor 3D, tanpa perlu terlalu bergantung kepada pekerja asing, demikian menurut beberapa pihak berkepentingan.

Selain penjenamaan semula sektor 3D, bayaran gaji perlu dikaji semula mengikut keperluan kemahiran sesuatu bidang supaya setimpal dengan pekerjaan yang ditawarkan dan kelayakan atau kemahiran yang dimiliki.

Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan mengakui Dasar Gaji Minimum RM900 sebulan tidak sesuai diberikan kepada pekerja tempatan dan mereka perlu dibayar mengikut kemahiran yang mereka ada misalnya Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 (SKM1), SKM2 dan kelayakan yang lain.

"Namun kita tidak memberikan apa-apa nilai untuk sijil berkenaan. Maka adalah elok jika pekerja tempatan, kemahiran mereka disijilkan dan kita bayar mereka mengikut tahap pensijilan mereka. Gaji minimum yang ada ini hanya layak dibayar kepada pekerja asing sahaja," katanya kepada Bernama.

Hujah Shamsuddin secara tidak langsung menjelaskan bahawa adalah penting untuk rakyat tempatan mempunyai kemahiran dan kelayakan tertentu bagi membolehkan mereka mendapat upah setimpal.

Shamsuddin berkata kekurangan tenaga kerja tempatan di sektor 3D berlaku kerana masyarakat melihat sektor 3D sebagai berisiko dan berbahaya.

Faktor berkenaan, katanya menyebabkan rakyat tempatan berkira-kira untuk bekerja dalam sektor 3D walaupun pekerjaan itu tidaklah seteruk sangkaan mereka.

"Contohnya, pekerjaan memetik kelapa sawit dan menoreh getah bukanlah berbahaya sehingga boleh mendatangkan maut.

"Begitu juga kerja-kerja pembinaan, perladangan dan perkilangan... ia tidak digemari kerana keadaan tempat kerja yang tidak selesa, panas dan kotor," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hakikatnya, majikan sentiasa melakukan penambahbaikan serta meningkatkan tahap keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.
Isu pekerja asing ke negara ini menjadi perbincangan hangat baru-baru ini berikutan perubahan dasar berkaitan.

Pada 19 Feb lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing daripada semua negara sumber untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula pembayaran levi dua kategori dan menumpukan perhatian kepada pekerja asing sedia ada.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hassan Mad berpendapat bahawa kajian komprehensif perlu dijalankan dan melakukan pembaharuan dilakukan dalam sektor 3D untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan menggalakkan rakyat tempatan bekerja dalam sektor berkenaan.

Beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) menggubal segera satu Pelan Induk Peralihan (Pengislahan) Tenaga Kerja Nasional bagi mentranformasi sektor yang berasaskan buruh kepada aktiviti yang berteraskan mekanisasi atau automasi.

"Wajiblah ada satu pelan induk yang komprehensif dengan tujuan utamanya mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber tenaga buruh asing," katanya, dan menambah kata bahawa usaha itu penting untuk merealisasikan hasrat negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Katanya kerajaan harus memantapkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran tinggi agar mampu mengendalikan kerja-kerja berteraskan mekanisasi atau automasi dalam sektor 3D.

"Kemahiran itu perlu kerana kita harus memodenisasi teknologi sedia ada agar tidak terlalu bergantung pada peralatan konvensional sahaja. Di sinilah kita memerlukan tenaga pakar rakyat tempatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Ekskutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) Dr Wasitah Mohd Yusof mencadangkan agar sebuah pusat sehenti diwujudkan di seluruh negara bagi membantu golongan belia, khususnya di luar bandar, mencari pekerjaan.

"Masih terdapat belia yang tidak tahu cara mencari pekerjaan terutamanya di luar bandar. Mereka boleh mengetahui peluang pekerjaan dan mencari kerja dengan mudah dan efektif dalam mana-mana sektor dengan adanya pusat sehenti ini," katanya.

Pusat sehenti, yang boleh dikendalikan bersama Jabatan Tenaga Kerja, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan-persatuan belia boleh membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing.

Wasitah turut mengakui masih ramai yang keliru dan kurang jelas, malah ada yang mempunyai persepsi bahawa pekerjaan sektor 3D hanya layak untuk pekerja asing sahaja.
"Sektor 3D adalah kerja-kerja yang tidak popular dan memerlukan minat bekerja dengan bersungguh-sungguh. Kurangnya promosi kerjaya dalam bidang ini menyebabkan golongan belia tidak berminat menyertainya," katanya.

Berbeza pendapat mengenai gaji sektor 3D, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCIN) Datuk Syed Jamarulkhan S. Kadir berkata isu gaji bukanlah masalah bagi warga tempatan kerana kebanyakannya memang tidak berminat mengisi kekosongan jawatan di sektor itu.

"Pekerja asing merupakan pengganti dalam kerja-kerja buruh agar rakyat Malaysia dapat memenuhi jawatan yang lebih baik. Majikan tiada masalah untuk membayar gaji lebih kepada rakyat tempatan tetapi adakah mereka berminat dan 'akan setia' melakukan kerja-kerja 3D ini?" katanya.

Syed Jamarulkhan menolak dakwaan bahawa syarat menggaji pekerja asing longgar menyebabkan majikan terlalu mudah mengambil pekerja asing.

"Ia perlu melalui proses mendapatkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan jabatan-jabatan tertentu. Kita perlu memohon di Jabatan Tenaga Kerja, seterusnya diiklankan oleh jabatan itu agar warga tempatan mengisi kekosongan pekerjaan yang ada dan keutamaan diberikan kepada warga tempatan.

"Setelah sebulan tanpa sambutan warga tempatan, barulah permohonan itu dikaji untuk mendapatkan kelulusan mengambil pekerja asing berdasarkan keupayaan dan munasabah keperluan warga asing. Sebelum diluluskan satu perjumpaan diadakan oleh jabatan itu dengan majikan bagi mencapai persetujuan kedua-dua pihak," katanya.

Majikan juga dikehendaki menanggung pelbagai kos termasuk kesihatan, kadar levi dan gaji minimun setiap pekerja, katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Polis, masyarakat berpisah tiada

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab