Kem tentera bukan untuk tambah undi BN

BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan pembinaan Kem Tentera Darat Malaysia (TDM) di Hutan Melintang dekat sini bertujuan menambah undi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebaliknya pembinaan kem berkenaan berikutan kelompongan yang terdapat di wilayah selatan Perak yang tidak mempunyai sebarang kem tentera.

‘‘Ada yang pertikai bahawa kita bina kem di Hutan Melintang untuk tambah undi BN sedangkan harus ingat bahawa kem tentera terdekat adalah di Sungai Buloh, Selangor.

‘‘Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula di Lumut dan berlaku lompang di kawasan Perak selatan dan kerana itu kita memerlukan kem tentera yang sudah tentu berpusat di Hutan Melintang, kita bina bukan nak tambah undi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia di Kampung Sungai Sumun, Hutan Melintang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi dan Panglima 2 Briged, Datuk Mohd. Nizam Jaafar.

Menurutnya, pembinaan Kem Tentera Hutan Melintang itu bukan sahaja untuk pertahanan negara tetapi bagi memberi laluan kepada anggota tentera berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat Hutan Melintang.

Beliau berkata, program jiwa murni yang dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama masyarakat setempat ini memberikan pelbagai faedah dan selari dengan konsep tentera dan rakyat berpisah tiada.

‘‘Apabila kem Hutan Melintang ini siap sepenuhnya, masyarakat Bagan Datuk akan melihat tentera-tentera di kem ini dan ahli keluarga mereka akan tinggal di sini lalu menaikkan sosioekonomi khususnya di Hutan Melintang,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyelar dakwaan pihak pembangkang me­ngatakan anggota tentera di negara ini makan gaji buta kerana tidak berjuang di medan perang.

‘‘Soal pertahanan dan keselamatan tidak ada perbezaan kita sebagai rakyat Malaysia sama ada pihak pemerintah atau kerajaan, jangan pertikaikan soal pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.

-Utusan

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada