Zahid Minta Muhyiddin Jaga Kawasan, Jangan ‘Sibuk’ Buat Tuduhan

BAGAN DATUK – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukannya melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan Muhyiddin bahawa BN akan melakukan apa sahaja bagi menghalang rakyat di negara ini keluar mengundi pada 9 Mei depan merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Tidak munasabahlah. Dulu dia (Muhyiddin) pernah berada dalam kedudukan saya. Janganlah sudah tidak ada dalam kerajaan buat dakwaan-dakwaan begitu, jagalah pengundi (Parlimen) Pagoh dan (Dewan Undangan Negeri) Gambir elok-elok,” katanya.

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sungai Sumun dekat Hutan Melintang di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Muhyiddin kononnya BN akan melakukan apa sahaja termasuk kemungkinan menumbangkan pokok di atas jalan selain menawarkan wang kepada pengundi untuk mengundi parti itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan melemparkan pelbagai dakwaan konon dirinya sering disabotaj bagi mengagalkan beliau bertanding pada PRU14, adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata taktik sama pernah digunakan Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri bagi meraih simpati rakyat pada ketika itu dan terus menggunakan taktik sama walaupun kini tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.

“Itulah taktik yang digunakan orang itu dan saya pun sudah tidak mahu gelar apa pun lagi kepada beliau kerana kita pernah tertipu dengan taktik yang digunakannya semasa menjadi pemimpin dan taktik sama masih digunakan tapi pendekatan berbeza,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas mengenai dakwaan terbaru Dr Mahathir bahawa beliau disabotaj Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Subang sejurus tiba dari Terengganu, Selasa lalu.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya dinaiki beliau ke Langkawi disabotaj oleh pihak tertentu.

Justeru itu, Ahmad Zahid berharap rakyat di negara ini tidak tertipu dan perlu menolak taktik Dr Mahathir yang hanya sekadar mahu meraih simpati.

-UMNO Online

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi