PRU-14: Polis siap siaga

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU- 14) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa berikutan tahap kesiapsiagaan pasukan seragam itu kini berada pada 99.9 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahap kesiapsiagaan luar biasa itu bagi memastikan sistem demokrasi dapat diterjemah sepenuhnya selain memastikan tugas calon-calon pilihan raya yang akan bertanding berjalan lancar.

Katanya, kesiapsiagaan itu juga adalah persediaan untuk menghadapi suasana sebelum pembubaran Parlimen, hari tarikh bubar hingga hari penamaan calon, hari pengundian serta harihari selepasnya.

“Setakat ini, kita sudah 99.9 peratus siap saga. Kita buat beberapa siri latihan termasuk latihan table top, gerakan tubuh badan dan beberapa lagi. Kemuncak latihan bagi menghadapi PRU-14 akan dijalankan esok.
“Ini bagi memastikan persiapan dapat dibuat 100 peratus.

Saya sendiri tidak tahu pilihan raya itu bila akan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri lawatan kerja dan mesyuarat pengurusan tertinggi PDRM di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Hadir sama pada lawatan itu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. Tambah Ahmad Zahid, PDRM juga telah melakukan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan seluruh proses pilihan raya berjalan lancar.

“Saya sendiri turun ke semua Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) supaya demokrasi diterjemah sepenuhnya untuk semua calon politik daripada semua parti politik dalam menggunakan hak mereka sebagai calon sepanjang PRU-14 dijalankan.

“Dalam hal ini, kita ada kesiapsiagaan luar biasa berbanding PRU sebelum ini kerana kita mahu tentukan bahawa pengundi- pengundi kita berasa selamat,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan cuti para pegawai dan anggota polis dibekukan sejak beberapa minggu lepas dan pembekuan cuti itu sehingga selepas PRU-14 berakhir. “Kita sudah mengerahkan seluruh anggota di negeri-negeri untuk bersedia dan siap siaga,” ujarnya.

-Utusan Online

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada