Jangan jadikan isu keselamatan mainan politik - Agong

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan atau mainan politik.

Baginda bertitah ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara adalah sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk.

"Beta menyeru supaya kerajaan terus mempertingkatkan tahap kesediaan terutama dalam penguatkuasaan termasuk di ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang.

"Beta juga berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik," titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian pada sesi pembukaan Mesyuarat Ketiga, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 di Parlimen, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Muhammad V bertitah, ancaman penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar juga kini semakin serius.

Sehubungan itu, baginda menggesa semua pihak mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk membanteras ancaman berkenaan.

Baginda turut mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara, sekali gus membolehkan pembangunan dan kemajuan negara berjalan baik dan hasilnya dapat dinikmati ketika ini.

"Terima kasih juga kepada kerajaan Perdana Menteri yang menggembleng tenaga bagi membangunkan negara Malaysia yang tercinta.

"Beta berdoa semoga negara Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya," titah baginda.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi