Najib Ketuai 10,000 Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai lebih 10,000 rakyat Malaysia menyertai perhimpunan solidariti untuk bersama rakyat Palestin membantah pengiktirafan Amerika Syarikat terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

'Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis' itu diadakan di Masjid Putra, disertai kebanyakannya umat Islam dan rakyat pelbagai agama yang hadir sama ada mewakili NGO atau datang sendiri.

Perhimpunan itu didahului dengan solat Jumaat dan diikuti dengan solat hajat serta forum 'Selamatkan Baitulmuqaddis' dengan enam anggota panel.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa anggota Kabinet dan Duta Palestin di Malaysia Datuk Dr Anwar H al-Agha.

Forum, solat dan perhimpunan itu diadakan sehari selepas sidang tergempar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyaksikan 128 negara menyokong resolusi PBB menggesa Amerika Syarikat supaya membatalkan pengiktirafannya terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel. Sembilan negara menentang resolusi itu sementara 35 lagi berkecuali.

Semasa berucap pada perhimpunan itu, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali menggadaikan prinsip kesucian agama Islam dan akan terus mempertahankan Baitulmuqaddis.

Katanya walaupun beliau mempunyai hubungan baik dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan menerima sambutan baik semasa lawatannya ke negara itu sebelum ini, namun prinsip pertama dalam maqasid syariah iaitu menjaga agama tetap diutamakan.

"Kalaulah Baitulmuqaddis itu kota suci umat Islam yang ketiga kesuciannya, martabatnya maka wajiblah kita memperjuangkan Baitulmuqaddis, Masjid Al Aqsa dan Al Quds al Shariff bebas daripada cengkaman zionis.

"Ini bukan pilihan, dalam isu lain ada pilihan tapi dalam isu ini tidak ada pilihan, ini wajib, wajib kita tentang mereka, wajib kita bersatu," katanya.

Najib berkata pengumuman Trump yang mengisytiharkan Baitulmuqqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Dis perlu ditentang oleh 1.6 bilion umat islam seluruh dunia dan tidak patut mengalah kepada 13 juta Yahudi.

"Saya yakin selepas perhimpunan hari ini kita akan menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa umat Islam di Malaysia bersatu. Kita akan lakukan apa sahaja," katanya.

Najib berkata Malaysia bukan negara peminta sedekah kepada mana-mana negara termasuk Amerika sekalipun walaupun ia kuasa besar.

"Jangan perlekehkan Malaysia. Kita ada maruah kita. Sedikit sebanyak kita ada kekuatan. Kita bukan lemah, apatah lagi kalau umat Islam bersatu dalam negara kita. Saya juga berbangga kerana ada (badan bukan kerajaan) bukan Islam menyertai perhimpunan hari ini," katanya.

Najib turut berkongsi tiga perkara yang menjadi asas pendirian Malaysia berhubung isu Baitulmuqqaddis ketika sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini.

"Pendirian kita tegas dan konsisten menyokong usaha berterusan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat dan ia mesti kembali kepada persempadanan sebelum 1967. Kita tidak mahu Palestin yang semakin mengecil. Kita mahu Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin.

"Tiga perkara ini kita tidak akan berganjak buat apa sekali pun," katanya.

Najib juga mengumumkan perhimpunan solidariti di setiap masjid akan diadakan pada minggu ketiga setiap bulan di seluruh negara bagi menyemarakkan semangat mempertahankan Baitulmuqqaddis.

"Kita akan perjuangkan isu ini dalam pelbagai saluran diplomatik, politik, sumbangan kewangan, melakukan doa dan solat hajat agar satu hari nanti Baitulmuqqaddis akan menjadi milik rakyat Palestin.

"Saya juga mengimpikan satu hari nanti untuk melakukan solat di Masjid al Aqsa tetapi saya tidak mahu mendapatkan kebenaran Zionis seperti yang berlaku hari ini," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi