Anggota Rela bantu Esscom bermula Januari

LAHAD DATU - Aspek pemerkasaan kawalan sempadan negara di perairan Sabah terus menjadi keutamaan apabila seramai 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditugaskan bagi membantu pemantauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bermula Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah mengatur penugasan anggota Rela berkenaan sedang dijalankan dan kerajaan telah memperuntukkan dana bagi menyediakan uniform serta kelengkapan tertentu kepada setiap anggota terlibat.
 
“Tindakan ini penting untuk menentukan bahawa soal ke­selamatan bukan sahaja Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tetapi di seluruh Sabah dalam keadaan terkawal. Untuk itu, kita telah membincangkan beberapa tindakan bagi menentukan jenayah rentas sempadan lebih dikawal rapi.

“Kami putuskan kawalan rapi perlu diteruskan di resort-resort di kawasan Esszone dan 500 anggota Rela juga akan ditugaskan membantu agensi-agensi keselamatan di bawah Esscom,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Rela di Ibu pejabat Batalion 17, Pasukan Ge­ra­kan Am, Lahad Datu di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau berpuas hati dengan kawalan ke­selamatan di sempadan negara ketika ini, namun itu tidak akan menghalang usaha kerajaan untuk terus memantapkan operasi pihak berkuasa.

Sementara itu beliau berkata, satu sambutan besar-besaran melibatkan kesemua anggota keselamatan, pemimpin masyarakat dan rakyat negeri ini akan diadakan di Lahad Datu pada 5 Mac tahun depan bagi memperingati tahun kelima penubuhan Esscom.

Mengulas tentang isu lain, Ahmad Zahid mengesahkan, dua kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas di kaunter pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah ditahan baru-baru ini bagi membantu siasatan penyeludupan masuk warga Bangladesh ke dalam negara.

Katanya, arahan juga telah dikeluarkan supaya semua kakitangan imigresen yang bertugas di kaunter pelepasan di KLIA ditukar bagi memastikan integriti pasukan keselamatan itu terus terjaga.

“Saya telah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk ketatkan kawalan di pintu masuk terutama KLIA.

“Kita akan gantikan kumpulan yang disyaki terlibat dalam kegiatan demikian dengan kumpulan lain dan pada waktu sama kita menambah pegawai dari lain-lain pejabat untuk bertugas di KLIA,” kata beliau.

-Utusan

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada