Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) Berkuat Kuasa Esok - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) akan berkuat kuasa esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) bertujuan memperkemas dan menambah baik pelaksanaan serta penguatkuasaan peruntukan itu terutamanya berkaitan pemakaian peranti pemantauan elektronik (EMD) dengan memperincikan lagi syarat-syarat pemakaian EMD ke atas orang di bawah pengawasan.

Selaras dengan pindaan itu juga, Jadual Kedua Akta 297 telah dipinda dengan memasukkan kesalahan baharu yang boleh diambil tindakan melibatkan penggunaan EMD berkenaan, katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

"Pindaan ini akan membolehkan pihak polis mengambil tindakan pencegahan yang lebih berkesan terhadap orang-orang yang melakukan kesalahan tersenarai di bawah Jadual Kedua yang dipinda," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata dengan kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah Seksyen 22 Akta 297, beliau juga menetapkan Perintah Pencegahan Jenayah (Pindaan Jadual Kedua) 2017 dan Perintah Pencegahan Jenayah (Pindaan Jadual Ketiga) 2017 yang berbangkit daripada pindaan Akta 297 untuk turut berkuat kuasa esok.

Ketika majlis pelancaran buku tulisannya, 'POCA: Nafas Baharu Banteras Jenayah' pada Ogos lepas, Ahmad Zahid berkata pindaan itu melaksanakan penggunaan EMD ke atas orang di bawah pengawasan yang mampu mengurangkan kos perbelanjaan tahanan penjara serta memupuk perasaan pencegahan dalam kalangan tahanan dan bakal penjenayah.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada