Zahid Arah Pembinaan Politeknik Bagan Datuk Dipercepatkan

BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan kontraktor supaya mempercepatkan pembinaan politeknik baharu di Bagan Datuk kepada 38 bulan daripada tempoh jangka siap 45 bulan bagi menyegerakan proses pembelajaran.

Tempoh jangka siap yang diberikan kontraktor dirasakan terlalu lama bagi penduduk Bagan Datuk untuk menikmati pembangunan, kata Ahmad Zahid, yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan Politeknik Bagan Datuk di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Projek yang dianggarkan menelan kos RM220 juta itu dibangunkan di kawasan seluas 16 hektar di hadapan Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) di sini dan bakal menampung 1,200 pelajar.

Politeknik baharu di Bagan Datuk yang memberi tumpuan kepada industri maritim juga merupakan politeknik ke-35 di negara ini dengan menawarkan dua program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu Diploma Pembinaan Kapal dan Diploma Kejuruteraan Marin Elektrikal.

Pengambilan kohort pertama bagi Diploma Senibina Kapal dilaksanakan pada 5 Jun lalu dan telah pun memulakan pembelajaran di kampus sementara yang beroperasi di Medan Niaga Lagenda di Hutan Melintang di sini.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada