Perhimpunan Palu Gendang Perang PRU-14

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 5 hingga 9 Disember ini adalah perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). PAU kali ini akan menguji tahap kesiapsiagaan jentera parti untuk menghadapi PRU-14.

Ikuti temu bual wartawan BH, MOHD AZRONE SARABATIN bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengulas lanjut mengenai perhimpunan agung dan signifikan dalam persiapan parti menghadapi PRU-14.

S: Apa signifikan Perhimpunan Agung UMNO kali ini dengan PRU-14?

J: Sudah pasti perhimpunan kali ini ada kaitan dengan PRU-14. Perhimpunan ini bukan sahaja penting kepada UMNO, malah keseluruhan 13 parti komponen Barisan Nasional (BN). Sebab itulah kita mahu perwakilan yang membahaskan ucapan dasar Presiden mengetengahkan formula dan strategi untuk mencapai kemenangan dan menambat hati pengundi supaya terus menyokong BN. Kita memang sudah lama bekerja untuk rakyat. Kepemimpinan UMNO tidak pernah berhenti bekerja demi kepentingan rakyat. Namun begitu, masih ada kerja yang perlu kita lakukan menjelang pilihan raya nanti.

S: Apa perbezaan perhimpunan kali ini dengan sebelum ini?

J: Ada sedikit perbezaan. Perhimpunan sebelum ini tidak berada dalam 'mood' pilihan raya, sebaliknya berkisar kepada ehwal parti, kepemimpinan dan agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang. Perhimpunan kali ini kita akan tanam semangat siapsiaga menghadapi PRU-14. PRU kali ini amat berbeza dengan sebelum ini. Sebab itulah kita akan gunakan perhimpunan ini sebagai persiapan untuk menghadapi persepsi negatif pembangkang terhadap BN. Kita (BN) akan diasak dengan pelbagai tohmahan dan fitnah untuk menarik pengundi yang sebelum ini penyokong setia BN. Inilah masa kita bersatu, bersemangat waja dan bertekad berjuang menangkis persepsi negatif dan tohmahan yang dilempar kepada parti dan pemimpin.

S: Adakah semangat perwakilan, pemerhati dan ahli yang membanjiri PWTC dapat diterjemahkan ke akar umbi?

J: Ya, mereka akan memberi penerangan kepada rakyat apa yang berlaku sepanjang perhimpunan. Apa mandat pemimpin dan harapan parti kepada mereka. Banyak isu yang selama ini menghantui rakyat yang dijawab sepanjang perhimpunan.

Perwakilan kemudian akan menyampaikan jawapan itu ke peringkat akar umbi.

Percayalah, tiada isu yang tiada penyelesaian dan akhirnya rakyat tahu hanya BN yang benar-benar berjuang untuk rakyat dalam pelbagai aspek mencakupi pembangunan, ekonomi dan keselamatan. Kita mengamalkan kesederhanaan dan saling menghormati antara kaum dan agama.

S: Macam mana perpaduan UMNO, ada pihak mengatakan wujud 'team' pada peringkat bahagian tertentu. Bagaimana menangani isu ini?

J: Perpaduan dalam UMNO adalah utuh. Tiada masalah seperti disebut sesetengah pihak yang suka mengadu domba. Sudah-sudahlah mengadu domba kerana ia tidak mampu menggugat perpaduan UMNO. Kita bersatu daripada peringkat atasan sehingga bawahan. Tiada `Team A' atau `Team B'. Ada yang kata wujud puak di peringkat bahagian, sebenarnya isu itu tak berlaku.

UCAPAN dasar Presiden mengetengahkan formula dan strategi untuk mencapai kemenangan dan menambat hati pengundi supaya terus menyokong BN. - Foto Roslin Tahir

S: Kita lihat berlaku percakaran dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang dalam banyak isu, apakah ini kelebihan kepada BN?

J: - Pembangkang ditubuhkan atas dasar kekecewaan. Pemimpin pembangkang tidak ikhlas berjuang untuk rakyat, sebaliknya mereka ada agenda peribadi. Agenda peribadi mereka mendahului kepentingan rakyat. Pada pandangan saya pembangkang adalah serpihan yang tidak mampu memerintah negara, DAP adalah serpihan PAP (Parti Tindakan Rakyat), begitu juga PKR dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang menjadi serpihan UMNO. Mana boleh percaya dengan parti serpihan. Kebanyakan pemimpin mereka adalah anak beranak. Lihatlah DAP, PPBM dan PKR.

Apabila dalam UMNO ada kaitan keluarga mereka tuduh kronisme dan nepotisme. Apabila berlaku kepada mereka ia tidak mengapa. Mereka semua betul, asal agenda dapat dicapai. Ini jauh berbeza dengan BN, kerana kita berjuang untuk rakyat dan menjadi parti pelbagai kaum terbesar negara. Kepelbagaian tidak menggugat keharmonian kita, sebaliknya semakin stabil.

S: Macam mana Datuk Seri melihat pembabitan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PBBM?

J: Saya pun tak faham kenapa Dr Mahathir berada dalam pakatan pembangkang. Seperti saya katakan sebelum ini, pembangkang dibina atas faktor kekecewaan. Mungkin juga beliau kecewa kerana anaknya, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz) tidak menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan kemudian tewas dalam pemilihan Naib Presiden UMNO. Sebab itulah beliau marah sangat kepada UMNO. Cita-citanya tak kesampaian. Apa yang beliau mahu gagal dicapai. Sepatutnya beliau bersabar kerana semua pemimpin bermula dari bawah. Saya bermula dari bawah dan semua tahu Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) dan Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bermula dari bawah.

S: Adakah Tun Dr Mahathir yang pernah menjadi Presiden UMNO memiliki strategi tersembunyi untuk menewaskan BN?

J: Saya fikir tidak, kerana rakyat Malaysia bijak menilai antara kaca dan permata, antara betul dan salah. Mula-mula orang memang tertarik dengan perjuangannya, tetapi sekarang tidak. Orang sudah bosan dengan apa yang dia buat. Orang sudah mula tahu fitnah yang beliau taburkan kepada Najib dan kepemimpinan negara. Masanya akan tiba untuk rakyat menolak parti pimpinannya. Isu mereka bangkitkan juga seperti FELDA, 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan dana RM2.5 bilion semakin difahami rakyat bahawa ia hanya tuduhan dan ditokok tambah. Itu semua persepsi negatif kepada pemimpin UMNO.

S: Pada PRU-12 dan PRU-13, ramai anak muda dan pengundi atas pagar menyebelahi pembangkang, apa strategi BN menarik mereka?

J: Saya yakin anak muda akan menyokong BN. Banyak program kita buat bersama generasi muda termasuk pendidikan, ekonomi dan pemilikan kediaman mampu milik. Walaupun ada antara program itu diputar belit pembangkang, ia tidak sesekali menggugat sokongan generasi muda kepada BN. Sebagai contoh, ucapan saya ketika majlis Anugerah Nadi Negara 2017 diputar belit kononnya saya memperkecilkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan.

Saya tak cakap begitu, sebaliknya saya menyatakan UiTM adalah landasan untuk mengubah ekonomi Melayu dan meningkatkan pendidikan hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Ini semua adalah jasa UMNO dan kerajaan kepada rakyat. Dahulu ramai masyarakat Melayu miskin, namun kewujudan UiTM membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dan keluar sebagai golongan terpelajar. Tak apalah yang penting generasi muda hadir faham apa saya sampaikan.

S: Pakatan pembangkang dilihat tiada 'tauke besar' untuk dicalonkan sebagai 'Perdana Menteri bayangan', adakah ia kelebihan kepada BN?

J: Ya, saya setuju dengan pandangan pembangkang tiada 'tauke besar'. Kita tak tahu pun siapa ketua mereka. Ia seperti pertunjukan wayang kulit yang hanya untuk menghiburkan penonton. Rakyat tak faham apa sebenarnya perjuangan mereka. Mereka mahu capai sesuatu tetapi tiada jeneral di medan tempur. Lambat laun rakyat akan faham dan akan menolak pembangkang dalam pilihan raya nanti.

S: Bagaimana dengan kenaikan kos sara hidup termasuk Cukai Barang dan Perkhidmata (GST), apakah isu ini mampu membangkitkan kemarahan rakyat?

J: Rakyat pun sudah mula sedar kepentingan GST. GST sebenarnya baik untuk negara, tetapi harga barang naik kebanyakannya berpunca daripada peniaga mengambil kesempatan. Ada orang tertentu mengambil kesempatan. Ada orang tengah ambil kesempatan. Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang. Malangnya, banyak persepsi timbul kononnya GST punca kenaikan harga barang.

Kerajaan juga melaksanakan pelbagai pendekatan menerusi rasionalisasi. Ini bermakna kita wujudkan subsidi bersasar, dulu tak bersasar. Semua dapat, sama ada kaya mahu pun miskin. Betul, yang kaya pun membeli petrol pada harga sama, namun hasil subsidi bersasar, golongan kurang berkemampuan akan menerima bantuan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Di Wilayah Persekutuan misalnya ada Program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), selain Kad Ceria iaitu pemberian diskaun pembelian di premis perniagaan terpilih yang menjadi rakan dagang Kad Ceria. Ini semua untuk mengurangkan bebanan rakyat.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi