Lima Korban Banjir Terburuk Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Pulau Pinang sekali lagi dilanda banjir berikutan angin kuat dan hujan lebat lebih 15 jam bermula 2 petang semalam dan disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah.

Kejadian banjir terbaharu ini turut menyebabkan lima terkorban membabitkan empat warga emas yang mati lemas dan seorang warga Bangladesh pula maut dihempap pokok manakala rakan senegaranya dipercayai masih hilang.

Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini menyebabkan Pulau Pinang lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir selain turut menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan fenomena air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

Setakat pukul 6 petang, seramai 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir di lima daerah di negeri ini dan daerah Seberang Perai Utara (SPU) disifatkan sebagai kawasan paling teruk terjejas akibat banjir.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,974 orang di 25 pusat pemindahan di daerah berkenaan manakala SPU (829 orang), Seberang Perai Selatan (25), Barat Daya (290) dan Timur Laut melibatkan 247 mangsa.

Kejadian banjir itu turut mengakibatkan sebuah feri di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth mengalami sedikit kerosakan akibat dipukul ombak setinggi tiga meter di kawasan itu sehingga melanggar bahagian W6 dermaga air dalam.

Bagaimanapun, feri tersebut dijangka beroperasi keesokan hari.

Lalu lintas di beberapa kawasan turut mengalami kesesakan antaranya George Town, Batu Ferringhi dan Tanjung Tokong disebabkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas dan hanya satu jalan sahaja dibuka untuk kenderaan.

Kerja-kerja pembersihan pokok-pokok yang tumbang akibat angin kencang sedang giat dijalankan dan polis turut mengawal lalu lintas bagi mengelak kesesakan.

Selain itu, Rapid Penang turut menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata 13 laluan bas di bahagian pulau dihentikan membabitkan kawasan Kebun Bunga, Teluk Bahang, Komtar, Pengkalan Weld, Tanjung Bungah, Bukit Bendera, Paya Terubong dan Balik Pulau dan satu laluan di bahagian Seberang Perai iaitu laluan bas Bukit Mertajam-Taman Pelangi turut diberhentikan operasi.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini kerana keadaan terkini masih terkawal.

Beliau berkata darurat hanya akan diisytihar oleh kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutuan.

Terdahulu, Lim ketika mengadakan lawatan ke kawasan terjejas awal pagi ini meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

"Keadaan semakin genting. Air masih naik, angin masih kuat, air sampai 10 hingga 12 kaki lepasi bumbung di Pulau Pinang. Pulau Pinang minta bantuan daripada ATM. Saya berjaya hubungi Timbalan Perdana Menteri, terima kasih kerana angkat panggilan saya hampir 3.30 pagi dan beliau berjanji akan menghantar pasukan ATM untuk selamatkan Pulau Pinang,"katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan menyatakan amaran hujan lebat peringkat jingga dikeluarkan pada petang semalam bagi negeri Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebelum ditingkatkan ke peringkat merah ekoran hujan semakin lebat menjelang tengah malam.

Bagaimanapun, tahap amaran hujan lebat itu telah diturunkan kembali kepada kategori jingga mulai hari ini berikutan kawasan tekanan udara rendah dikesan semakin lemah.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada