Fadzlette wanita tunggal berpangkat Mejar Jeneral dalam ATM

KUALA LUMPUR - Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Fadzlette Othman Merican menganggap kenaikan pangkatnya sebagai satu semangat dan cabaran untuk beliau terus bekerja lebih keras dan gigih di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selepas 37 tahun berkhidmat di dalam pasukan.


Fadzlette yang dikurniakan pangkat sebagai Mejar Jeneral hari ini melahirkan rasa kesyukurannya terhadap pengurniaan pangkat tersebut dan beliau merupakan satu-satunya wanita di dalam ATM yang memegang pangkat berkenaan setakat ini.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pihak ATM, ahli keluarga serta rakan-rakan yang banyak menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya selama ini.

“Tiada cara lain untuk berjaya melainkan dengan usaha yang keras dan minat yang mendalam terhadap kerjaya yang kita ceburi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fadzlette merupakan tentera darat wanita tunggal yang dinaikkan pangkat sebagai jeneral berbintang dua.

Majlis pemakaian pangkat pegawai kanan tentera darat itu disempurnakan oleh Ahmad Zahid dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mengimbau kisah lalu, Fadzlette berkata, beliau merupakan salah seorang daripada sekumpulan kadet wanita pertama yang diterima berkhidmat secara tetap dalam cabang darat ATM pada tahun 1980.

Ketika ditanya tentang tanggungjawabnya yang pelbagai dan semakin berat, Fadzlette memberitahu, sebagai wanita, beliau perlu fleksibel dan tidak melihat tanggungjawab itu sebagai bebanan.

“Ketika di rumah saya memakai topi sebagai ibu, isteri dan kakak dalam keluarga dan ketika di pejabat, saya jalankan tugas saya sebagai setiausaha akhbar dengan sebaik mungkin.

“Semua ini dapat saya lakukan hasil daripada sokongan padu yang diterima daripada ahli keluarga, terutamanya suami yang sangat memahami kerjaya saya,” ujarnya lagi.

Menjadi seorang pegawai kanan wanita dalam organisasi yang didominasi oleh lelaki bukanlah mudah. Namun cabaran tersebut sudah lama diatasi Fadzlette yang sudah mula memakai pangkat Kolonel sejak 2008 lagi.

Malah menurut Fadzlette sendiri, ATM sudah lama membuka ruang kenaikan pangkat dan tidak pernah mendiskriminasi anggota dan pegawai wanitanya.

“Saya sangat menggalakkan supaya para wanita di luar sana mencuba kerjaya di ATM kerana inilah peluang kita untuk membuktikan bahawa wanita berpotensi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Siling kaca yang menghalang kemajuan wanita dalam bidang ini telah lama dipecahkan, maka saya berharap kejayaan saya ini dapat menjadi teladan dan pemangkin semangat buat anggota-anggota wanita yang lain untuk merebut peluang yang terhidang,” katanya.

-UTUSAN ONLINE

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi