Dadah: AADK Perlu Lihat Semula Aspek Penguatkuasaan, Pemulihan - TPM

PUTRAJAYA - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diarah melihat semula aspek penguatkuasaan dan pemulihan bagi menangani isu penagihan dadah di kalangan masyarakat yang tidak berkesudahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha memerangi dadah di negara ini masih belum berjaya sepenuhnya walaupun Dasar Dadah Negara sentiasa berubah dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata sebagai agensi utama dalam hal berkaitan pencegahan dadah, AADK perlu terkehadapan dan berinovasi dalam aspek penguatkuasaan dan pemulihan yang digunakan kerana pengedaran dan pembuatan bahan terlarang itu telah berubah kepada kaedah bukan konvensional.

"Walaupun dadah adalah satu isu global, kita tetap perlu melakukan yang lebih baik bagi menangani dan mengatasi isu yang berpanjangan ini.

"Sebab itu saya telah minta Ketua Pengarah AADK (Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin) untuk melihat semula apa yang tidak kena dengan sistem sedia ada atau kesilapan yang wujud dari segi penguatkuasaan dan pemulihan yang dilaksanakan selama ini," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mahu AADK menjalin kerjasama lebih erat dengan agensi berkaitan di peringkat antarabangsa dalam menjamin langkah lebih efisien dapat dilakukan bagi menangani isu pengedaran dan pembuatan dadah yang semakin canggih ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata AADK juga perlu berevolusi dalam tindakan yang dilakukan sebagaimana perubahan aspek penghasilan dadah yang bertukar kepada dadah jenis sintetik, satu anjakan yang boleh mendatangkan lebih banyak bahaya kepada masyarakat.

"Dadah jenis sintetik ini boleh dihasilkan dengan hanya mempelajarinya di internet dan atas sebab itu, AADK mesti lebih 'bijak' dan terkehadapan dalam setiap aspek berbanding pengedar dan pengeluar bahan larangan itu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia tidak boleh meniru atau menggunakan acuan negara lain dalam memerangi masalah narkotik dan penagihan dadah di negara ini.

Beliau berkata acuan yang digunakan negara seperti Filipina yang membenarkan pegawai penguat kuasa undang-undang menembak pengedar dadah tidak sesuai digunakan di negara ini dalam menangani masalah berkenaan.

"Dalam hal ini, saya setuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Nur Jazlan Mohamed) semalam...di mana kita tidak boleh guna acuan negara lain untuk direlapaksakan penggunaannya di negara ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia mempunyai cara tersendiri dalam memerangi dadah termasuk melalui penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia yang melakukan pencegahan dan penguatkuasaan, manakala AADK bertindak melakukan pemulihan dan pendidikan terhadap penagih.

Kedua-dua agensi ini menjalankan peranan dengan cara tersendiri sambil dibantu oleh beberapa pihak lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan, katanya.

Semalam, Nur Jazlan memberitahu persidangan Dewan Rakyat kerajaan tidak bercadang membenarkan pegawai penguat kuasa undang-undang menembak pengedar dadah seperti yang berlaku di Filipina kerana sebarang pindaan undang-undang bagi membenarkan tindakan itu diambil di negara ini adalah bertentangan dengan norma perundangan dan dasar antarabangsa.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi