BN Tidak Lapuk, Sentiasa Remaja

KUALA LUMPUR – Biarpun berusia berpuluh-puluh tahun, tidak semestinya Barisan Nasional (BN) harus digantikan kerana parti politik itu telah mengalami pelbagai evolusi yang sesuai me­ngikut peredaran masa.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN telah beberapa kali bertukar tampuk kepimpinan sekali gus membuatkan parti itu sentiasa diremajakan dan mengalami pemantapan dasar.

Pada masa sama, beliau mengibaratkan parti politik sebagai sebuah kapal yang memerlukan seorang sahaja nakhoda dibantu timbalan-timbalannya, dan jika mempunyai begitu ramai sehingga enam nakhoda akan membuatkan kapal tersebut tiada hala tuju.

Walaupun tidak menamakan siapakah enam nakhoda tersebut, dipercayai Ahmad Zahid merujuk kepada Pakatan Harapan yang diketui DAP dan mempunyai enam pemimpin tertinggi berpengaruh.

“Ada yang beranggapan BN merupakan parti lama dan perlu diganti dengan parti-parti baharu. Tetapi kita harus melihat, meskipun kita parti yang lama, pemimpinnya datang dan pergi.

“Dasar telah dimantapkan, pendekatan adalah berbeza dan diterjemahkan dengan baik,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penutup program Internship BN Siri Ke-7 (Mantap 7) di bangunan Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Mantap, Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau mahu semua peserta Mantap turut dipanggil untuk membantu jentera parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

“Saya harap mereka sejak dari siri pertama lagi dikumpulkan semula untuk membantu jentera parti menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Program Mantap mengumpulkan lebih 100 peserta bagi setiap siri yang terdiri daripada mahasiswa institut pengajian tinggi untuk ditempatkan di kawasan-kawasan Parlimen BN.

Langkah itu dibuat untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengetahui selok-belok peranan ahli Parlimen dan mengetahui bagaimana rantaian aktiviti setiap wakil rakyat tersebut.

-Utusan

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada