Arab Saudi Puji Kepemimpinan PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi memuji kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah memainkan peranan cukup penting dalam hal ehwal dan kepentingan mengukuhkan kedudukan Islam di mata dunia.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Saleh Abdul-Aziz Muhammad Al-Sheikh berkata, atas sebab itu pihaknya memilih Malaysia sebagai lokasi pertama penganjuran Muktamar Khayr Ummah 2017 kerana percaya dengan pentadbiran pemimpin-pemimpin negara ini.

“Malaysia merupakan negara yang cukup penting dalam dunia Islam kerana kepimpinannya yang cukup berani dalam mengambil keputusan penting dan tepat dalam mempertahankan kebenaran agama serta umat Islam secara keseluruhan.

“Malaysia juga telah banyak memainkan peranan penting menghalang berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam daripada kemudaratan, dan ia dibuktikan dengan pelbagai kerjasama antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUR 2017) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Jelas Sheikh Saleh Abdul-Aziz, muktamar itu berupaya memainkan peranan penting sebagai platform kerjasama dalam bidang ekonomi dan pertahanan negara-negara Islam selain memperkasakan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pendekatan Wassatiyah.

“Muktamar ini penting dalam usaha untuk menepis segala tohmahan mengenai Islam selain menjelaskan kepada seluruh dunia bahawa agama suci ini bukan penyokong aktiviti keganasan,” katanya.

Sementara itu katanya, situa­si Islam yang semakin lemah di mata dunia hari ini menuntut kerjasama erat antara pemimpin dengan golongan ulama untuk menyatupadukan masyarakat yang berpuak-puak.

Katanya, golongan ulama tidak boleh berjuang sendirian dalam hal tersebut kerana cabaran hari ini berbeza dengan zaman dahulu.

“Golongan ulama ketika ini sangat lemah dan peranannya boleh kuat semula melalui bersatu padu dengan kumpulan berkuasa lain.

“Iman semata-mata tidak mampu mengubah dunia ke arah lebih baik, atas sebab itu Allah mencipta pelbagai golongan manusia supaya dapat bekerjasama,” katanya.

-Utusan Online

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi