Agenda Melayu bukan perjuangan perkauman - Zahid


KUALA LUMPUR - Perjuangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam memperkasakan agenda Melayu khususnya pendidikan tidak seharusnya disalah anggap sebagai tindakan rasisme, assabiyah mahupun perkauman, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Timbalan Perdana Menteri menegaskan usaha memperjuangkan agenda Melayu dalam kemajmukan bangsa di negara ini bukan bererti wujudnya kebencian mendalam terhadap orang bukan Melayu dan kepentingan mereka.

Beliau berkata, GPMS yang ditubuhkan sejak 1948 bukan hanya wadah untuk merealisasikan misi bagi memacu sektor pendidikan dalam kalangan orang Melayu, sebaliknya badan itu menjadi satu pemangkin utama untuk memperkasakan agenda Melayu tanpa mengetepikan masyarakat majmuk di negara ini.

"Kemajmukan bangsa di negara kita adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, namun prinsip perjuangan pelajar Melayu dan orang Melayu jangan disalah anggap bahawa berlaku rasisme, assabiyah atau perkauman dalam GPMS.

"Menterjemahkan agenda pendidikan Melayu bukan bererti GPMS mahu membenci sistem pendidikan lain," katanya ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-63 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun perbezaan pendapat perlu diraikan dan dihormati, ia perlu ada prinsip jelas untuk menanganinya.

"Mana boleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, prinsip asas kepada keindukan negara ini dicabar, ini bukan soal menggunakan (menguatkuasakan) undang-undang... penguatkuasaan undang-undang boleh dibuat tetapi ia hanya akan menempelak kita semula, apabila undang-undang digunakan sepenuhnya, apabila penangkapan dilakukan, simpati akan berpihak pada mereka," katanya.

Beliau turut membangkitkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu akibat perbezaan ideologi politik.

"Kalau kita ketinggalan, apakah makna suara majoriti, tetapi kita dipetak-petakkan dengan perbezaan pendapat yang tidak ditangani sebaiknya.

"Apa maknanya ketuanan jika rumah kita, lantai dinding dan bumbung bocor, tiang seri dimakan anai-anai. Kalau mahu keindukan kita dihormati, tiang seri mesti terus kukuh, lantai dan bumbung tidak berlubang yang boleh diintai dari luar dan bumbung tidak bocor," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan orang Melayu supaya sentiasa menghormati budaya dan agama bangsa lain jika mahukan penghormatan daripada bangsa lain.

"Jangan pernah menyanggah kaum lain, agama lain, budaya, bahasa lain, saya yakin kita akan dihormati jika kita memperkukuhkan sektor pendidikan yang menjadi faktor utama dalam mewujudkan mobiliti sosial dalam pelbagai sektor," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi