Jiwai Semangat Pahlawan Terdahulu

PUTRAJAYA - Generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) perlu menjiwai semangat kepahlawanan generasi terdahulu yang rela berkorban mempertahankan keselamatan tanah air, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, semangat untuk terus berjuang itu mesti sentiasa tersemat dalam kalangan pasukan keselamatan negara sama ada yang masih berkhidmat atau veteran supaya menjadi cerminan kepada golongan muda.

Perdana Menteri berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) aset terpenting negara yang tidak pernah berhenti menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini.

"Wajib bagi kita untuk sentiasa iktiraf dan mengenang jasa pengorbanan pahlawan ini. Tanpa keselamatan dan keamanan, kita tidak akan dapat mencapai pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, antara yang tertinggi di dunia.

"Selain itu, tidak mungkin dalam indeks keselamatan global, kita berada di tangga 29 dalam 193 negara paling aman di dunia dan tangga 23 negara yang mempunyai ekonomi yang paling berdaya saing, selain menarik pelabur dan pelancong untuk datang," katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Seramai 606 anggota PDRM dan ATM menyertai istiadat yang disambut setiap tahun itu.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi