ASEAN Digesa Tingkat Kerjasama Capai Digit Tunggal Kadar Kemiskinan


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa negara-negara anggota ASEAN supaya meningkatkan kerjasama dalam mencapai sasaran 'digit tunggal' kadar kemiskinan menjelang 2025.

Menurut beliau, tahun lepas kemiskinan di negara-negara ASEAN dicatatkan pada kadar 14 peratus, berbanding 31 peratus yang dicatat pada 1990.

Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat ke-10 Menteri-menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan (AMRDPE) yang berlangsung di sinihari ini, perlu digunakan sepenuhnya sebagai platform perkongsian maklumat antara negara-negara ASEAN dalam merangka kaedah terbaik membasmi kemiskinan di rantau ini.

"Kita harap rantau ASEAN dengan penduduk lebih 634 juta menjadi kawasan yang dapat ditransformasikan, dengan pembangunan bandar dibawa ke kawasan luar bandar," katanya ada sidang media selepas merasmikan mesyuarat yang disertai kira-kira 80 anggota delegasi terdiri daripada menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan luar bandar negara-negara ASEAN.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terpilih sebagai Pengerusi AMRDPE untuk tempoh dua tahun (2017-2019) dan Timbalan Ketua Setiausaha bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata kadar kemiskinan di ASEAN masih dianggap tinggi walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk membasmi kemiskinan.

"Kita juga menghadapi cabaran dari segi pembangunan infrastruktur dan dalam beberapa kawasan , kebanyakannya di luar bandar masih kekurangan infrastruktur asas seperti air bersih dan elektrik.

"Berdasarkan Laporan Statistik ASEAN mengenai Matlamat Pembangunan Milenium 2017, dalam 2015 hanya 81 peratus daripada penduduk ASEAN mendapat akses air minuman bersih sementara akses elektrik kira-kira 85 peratus," katanya sambil menambah kata semua cabaran ini menyumbang kepada fenomena penghijrahan luar bandar-bandar.

Statistik menunjukkan bahawa 50.1 peratus daripada 634 juta penduduk tinggal di kawasan luar bandar, penurunan ketara daripada 63.5 peratus dalam 1977, tahun pembentukan rasmi kerjasama ASEAN dalam pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan, katanya.

Beliau berkata dalam pada meningkatnya penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang dianggap suatu norma di negara-negara membangun, usaha yang lebih serius diperlukan untuk membangunkan kawasan luar bandar bagi menjadikannya lebih menarik kepada penduduk.

Dalam hubungan ini, Ahmad Zahid berkata pembangunan tidak harus terhad kepada hanya fizikal dan ekonomi sahaja.

"Pembangunan modal insan tidak harus diabaikan kerana ia juga boleh menjadi jentera utama pertumbuhan. Kita harus memanfaatkan sumber modal insan sedia ada ke arah pendekatan holistik terhadap pembangunan luar bandar.

"Pendekatan ini dicerminkan dalam dasar pembangunan luar bandar Malaysia apabila kami memberikan penekanan serupa terhadap pembangunan infrastruktur dan modal insan. Satu daripada inisiatif utama kami ialah Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilancarkan pada 2015," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, penggerak utama RTP ialah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang menyediakan peluang baharu ekonomi, sosial dan pendidikan bagi penduduk luar bandar serta menawarkan latihan kemahiran, mikro-kredit, perkhidmatan kesihatan dan peluang menyertai kegiatan nilai tambah pertanian.

"Sebagai tambahan kepada RTC, kami juga mewujudkan lebih 200 RTC mini untuk menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada semua komuniti.

Semua RTC mini ini bertindak sebagai hab tempatan bagi kegiatan ekonomi dan sosial, menghubungkan komuniti di pedalaman dengan peluang ekonomi yang lebih baik dan membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat ke rumah mereka. Inilah program transformasi luar bandar cara Malaysia," kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata pembasmian kemiskinan bukan sahaja terus menjadi keutamaan dalam ASEAN seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Sosiobudaya Komuniti ASEAN 2025, tetapi juga di peringkat global seperti yang digariskan dalam Agenda Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Usaha membasmi kemiskinan memerlukan pendekatan pelbagai dimensi bukan hanya dari segi pendapatan, tetapi juga meliputi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup, oleh itu perlu ada strategi mapan, holistik dan inklusif yang turut melibatkan pembangunan modal insan katanya.

"Di peringkat ASEAN, kita telah membangunkan strategi dan pelan tindakan bagi pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan seperti menggalakkan pembangunan modal insan, pembangunan ekonomi berdikari dan penghidupan mapan," katanya.

Mesyuarat sehari itu bertemakan 'Transformasi Luar Bandar: Mempertingkat Modal Insan Ke arah Komuniti Luar Bandar Berdaya Tahan' yang mencerminkan komitmen Malaysia dalam pembangunan luar bandar dengan menekankan kepada pembangunan modal insan sebagai tambahan kepada pembangunan infrastruktur.

Mesyuarat itu membincangkan antara lain kemajuan Rangka Pelan Tindakan mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (2016-2020) dan membincangkan pelbagai usaha untuk menggalakkan pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan dalam ASEAN bagi membina komuniti luar bandar berdaya tahan selaras dengan visi Komuniti Sosiobudaya ASEAN bagi 2025.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi