PM: Kepakaran Doktor HKL Mampu Pulihkan Mangsa


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak percaya kepakaran yang dimiliki doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berupaya mengubati serta memulihkan pelajar-pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang ce­dera dalam kebakaran Khamis lalu.

Perdana Menteri memberitahu, doktor-doktor yang terlibat sedang memberikan rawatan terbaik kepada mangsa.

Menurut beliau, berdasarkan andaian pihak terbabit, kesemua empat mangsa yang masih dirawat di HKL mempunyai peluang untuk sembuh walaupun proses pemulihan mengambil masa. 

“Saya mendapati mereka da­lam keadaan baik. Dua daripada mereka boleh bercakap manakala seorang lagi tidak sedarkan diri dan seorang lagi dipakaikan alat bantuan pernafasan kerana asap memenuhi paru-paru.

“Kita bersama-sama mendoakan supaya kesemua mangsa pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat empat mangsa yang menjalani rawatan bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di HKL di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain.

Najib dan Rosmah meluangkan masa kira-kira 45 minit melawat keempat-empat mangsa iaitu Indrakurniawan Mohd. Amirul, 11; Muhd. Shahir Sharifuddin, 11; Zunnun Misri Nasrun, 15, dan Adib Bakri Bakhir, 15.

Difahamkan, tiga lagi mangsa yang cedera iaitu Muhammad Syamin Che Azmi, 18; Wan Muhammad Danish Hisham Wan Nor Hisham, 14, dan Sufian Emmad, 20, telah dibenarkan pulang semalam.

Seramai 21 pelajar pusat tahfiz berkenaan dan dua guru mereka terkorban selepas premis yang mereka diami terbakar dalam kejadian awal pagi Khamis lalu.

Sementara itu, Najib turut memuatkan gambar beliau bersama isteri melawat mangsa-mangsa kebakaran itu dalam laman tweeternya.

“Lawatan anak-anak tahfiz mangsa kebakaran di HKL. Lembut dan tenang wajah mereka walaupun baharu lalui tragedi dahsyat. Moga Allah rahmati dan pelihara mereka,’’ kata Najib.

-Utusan

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada