PDRM bantu kecemerlangan KL2017 - TPM


IPOH - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan paling cemerlang Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berakhir kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kejayaan atlet Malaysia merangkul 145 pingat emas bukan sumbangan langsung PDRM, tetapi kawalan keselamatan oleh pasukan itu membolehkan atlet negara berada pada prestasi terbaik mereka.

"Seramai 25,000 pegawai dan anggota polis bertugas sepanjang Sukan SEA berlangsung bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri dengan Warga Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), 69 Komando Pasukan Gerak Khas (PGK) dan Pusat Latihan PGA (PLPGA) Bersempena Aidiladha 2017 di Ulu Kinta, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan serta Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM juga berjaya mengagalkan usaha mana-mana pihak untuk membuat ancaman sepanjang kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan itu sudah melakukan perancangan rapi termasuk mengadakan latihan bagi memastikan penganjuran KL2017 berjalan lancar.

Ahmad Zahid juga berkata, penyerapan pegawai dan anggota PGA dalam Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) bagi menggantikan Unit Pencegah Penyeludupan berjaya mencegah jenayah rentas sempadan.

Katanya, ini dibuktikan apabila AKSEM berjaya melakukan rampasan barang seludup dengan nilai keseluruhan RM38 juta berbanding jumlah yang kecil sebelum ini.

Beliau juga berkata, akan meneliti dan mendapatkan peruntukan bagi permohonan pasukan Briged Utara untuk menggantikan paip air yang usang dan menaik taraf beberapa kemudahan di kem berusia 50 tahun itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Shahar berkata, kem itu sering menghadapi gangguan bekalan air kerana paip utamanya yang usang dan berkarat.

Katanya, Lembaga Air Perak (LAP) memaklumkan mereka memerlukan kos RM5 juta untuk menggantikan semua paip berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, seramai 14 anggota PGA masih ditempatkan di Wisma Sukan kerana bangunan berek mereka yang hangus pada Disember 2015 belum dibaiki.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi