Masalah Dadah Serius – Zahid


KANGAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara pada 14 September lalu adalah bukti masalah jenayah dadah perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, siasatan awal polis mendapati suspek-suspek yang diberkas dalam kes tersebut bukan sahaja masih muda tetapi turut positif dalam ujian dadah dijalankan.

“Dianggarkan sebanyak 52 peratus daripada banduan di dalam penjara di negara kita terlibat dalam masalah jenayah berkaitan dadah.

“Perkara ini tidak terhad di kawasan kejadian kebakaran (pusat tahfiz) tetapi tempat lain juga sama dan kita jangan berhenti berusaha membanteras dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau yang juga kali ke-38 dirasmikan beliau dan terakhir di seluruh negara di Dewan 2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada para perwakilan UMNO Bahagian Arau dan pemimpin UMNO negeri.

Menurut Ahmad Zahid, pelbagai usaha telah dijalankan kerajaan untuk membanteras dadah dan antaranya adalah memisahkan tugas penguatkuasaan yang dilakukan polis dan pemulihan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Walau bagaimanapun kata­nya, masalah yang turut dihadapi seluruh dunia itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi keluarga.

Dalam pada itu, beliau yakin Peguam Negara, Tan Sri Moha­med Apandi Ali akan meneliti dan mengkaji menggunakan akta jenayah biarpun kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dilakukan oleh remaja bawah umur.

Katanya, pada masa ini pihak polis sedang menyediakan kertas siasatan sebelum boleh mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Saya fikir Peguam Negara akan mempertimbangkan akta yang melibatkan soal jenayah biar pun (jenayah) dilakukan suspek juvenil. Ini kerana perbuatan itu tidak boleh diterima dari segi kemanusiaan dan perundangan.

“Ini penting supaya kejadian ini menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya sebagai mengulas cadangan ahli keluarga mangsa kebakaran pusat tersebut yang mahukan agar kerajaan mengenakan hukuman setimpal terhadap suspek-suspek terlibat walaupun mereka masih remaja.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyebaran video dan gambar tragedi kebakaran tersebut di laman-laman sosial bukanlah daripada sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Perkara ini telah dijelaskan kepada saya oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Bukan niat untuk me­nyembunyikan maklumat tetapi bagi memastikan siasatan tidak terganggu,” katanya.

-Utusan

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi