Bantah pesta arak: Terima kasih TPM - Mufti Wilayah Persekutuan


KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana menyatakan pendirian kerajaan membantah pesta arak diadakan di Malaysia.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya, Zulkifli turut menyucapkan terima kasih dan syabas atas bantahan tersebut.

“Ucapan penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi kerana menyatakan pendirian kerajaan membantah sebarang pesta arak diadakan di negara ini.

“Syabas dan terima kasih,” kata Zulkifli.

Dalam artikel bertajuk Bayan Linnas Siri ke-17 : Hindari Bahaya Arak, Zulkifli menegaskan dalam penganjuran pesta arak isu tersebut perlu dilihat dari dua sudut.

Pertama jika agama-agama selain Islam mengizinkannya, maka ia termasuk dalam kebebasan beragama dan Islam tidak ada masalah dengannya.

Kedua mengadakan pesta arak secara terbuka adalah tidak ada kewajaran dari sudut pendirian yang matang kerana mempromosikan arak adalah satu hal yang tidak bermanfaat.

“Kami mengambil kesempatan untuk menasihat seluruh rakyat Malaysia untuk menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak.

“Arak telah terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan masyarakat, perpecahan dan keruntuhan rumahtangga. Malah di dalam Islam, perbuatan meminum arak adalah satu maksiat yang wajib ditinggalkan,” kata Zulkifli.

Menurut Zulkifli di United Kingdom angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 peratus kejadian jenayah, keganasan rumah tangga (39 peratus) dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk.

Fakta tersebut jelas menunjukkan bahawa meminum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat.

“Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan meninggalkan budaya-budaya yang tidak bermanfaat kepada bangsa dan negara.

“Kami berpandangan, alangkah baiknya masyarakat Malaysia lebih meraikan pesta yang menyemarakkan semangat perpaduan sesama kita seperti pesta makanan dan minuman bangsa-bangsa di Malaysia,” kata Zulkifli.

Ahmad Zahid yang kini dalam lawatan kerja ke China dalam satu kenyataan semalam telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia untuk menghentikan pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijadual berlangsung bulan depan.

-UTUSAN ONLINE

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada