SPRM perlu siasat Tun Dr M juga - Mahdzir

SHAH ALAM - Sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan sama perlu dilakukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata siasatan begitu akan lebih adil kepada semua pihak.

"Elok sangatlah, semua kena siasat. Kalau hendak cakap soal siasatan, itu tindakan yang betul. Kalau hendak siasat, kena siasat betul-betul kerana banyak benda nak kena siasat.

"Kalau siasat Datuk Seri Ahmad Zahid, siasat sekali Tun Dr Mahathir. Bagi adil untuk semua orang, kena siasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara di sini, hari ini.

 Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian PJU, Datuk Ikhwan Salim Datuk Sujak; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO PJU, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian PJU, Samsidar Amir; Exco Wanita UMNO, Senator Azizah Harun yang mewakili Perhubungan Wanita Negeri Selangor dan Wakil Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Raja, Muhammad Khusyairi Abd Aziz.

Semalam, Ahmad Zahid menyatakan kesediaan untuk disiasat SPRM susulan dakwaan beliau memiliki aset RM230 juta ketika menjawat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian bagi memperbetulkan persepsi yang timbul susulan kenyataan dibuat Dr Mahathir, yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Terdahulu, ketika ucapan Mahdzir menekankan bahawa UMNO adalah parti yang adil kepada semua bangsa di negara ini sepanjang pemerintahannya sejak dahulu lagi.

"UMNO dari dulu sampai hari ini tidak tamak. UMNO berkongsi dengan semua. Kalau DAP kata UMNO tamak dan tidak tolong masyarakat bukan Melayu, itu salah sama sekali.

"Negara kita adalah satu-satu negara di Asia Tenggara yang mempunyai tiga jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Tiga bangsa berada di sebuah negara demokrasi.

"Sebab itu saya nafikan apabila DAP kata kita tidak adil sedangkan kita adil terhadap semua kaum. Masyarakat cina berniaga kita tidak pernah sekat sebaliknya kita bagi peluang. Kita (UMNO) buat kerja kita," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi