Pertahankan Rumah Umno, Jangan Dibiar Musnah – Zahid Hamidi


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar anggota UMNO sama-sama mempertahankan ‘Rumah UMNO’ daripada dicerobohi oleh pihak luar, termasuk beberapa bekas pemimpin, yang mahu melihat parti itu musnah.

Menyamakan parti keramat berusia 71 tahun itu sebagai ‘rumah’, Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata sememangnya menjadi tanggungjawab anggota parti untuk mempertahankan rumah itu daripada segala ancaman.

“Kita yang berada di rumah UMNO ini, memang tanggungjawab kita menentukan bahawa jikapun rumah kita bertingkapkan kaca, berdindingkan besi, kita tidak mahu mana-mana tokoh atau bekas pemimpin atau individu cuba membaling batu ke cermin tingkap rumah kita,”kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini malam ini.

Beliau mengakui bukan mudah untuk mempertahankan ‘rumah UMNO’ yang telah berusia 71 tahun, namun tiang seri parti itu disifatkan masih kukuh dan perlu terus dipertahankan, selain dipermodenkan mengikut peredaran semasa.

“Rumah itu harus dipertahankan dan jangan dirobohkan untuk jadi rumah baru kerana tiang serinya masih kukuh, lantai yang mula bocor itu kita tampal dan jika boleh kita ganti lantai dengan lantai baru,”tambah Ahmad Zahid, diringi tepukan gemuruh anggota perwakilan yang hadir.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua anggota UMNO bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang dianggap sebagai ibu kepada PRU dan merupakan satu peperangan besar bagi parti keramat itu.

“Sebagai pejuang parti, kita bukan pejuang materialistik tetapi untuk memastikan kemenangan, kita memerlukan komitmen semua untuk memastikan kemenangan pada pilhan raya akan datang,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut meminta anggota UMNO agar terus berjuang walaupun menghadapi apa jua bentuk cabaran yang datang.

“Itu semua perkara lama, kita kena ada daya tahan. Kita tidak boleh menoleh ke belakang. Bila kita pandu kereta, kita tidak boleh toleh ke belakang kerana kita akan kemalangan. Sesekali kita boleh jeling dan tengok cermin ke belakang.

“Ertinya kita tidak boleh menoleh ke belakang dalam perjuangan kita. Kita kena teruskan perjuangan kita,”kata beliau.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md Jais Sarday.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi