Najib, Zahid Saksi Latihan Ex Rimau

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini menyaksikan latihan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan agensi berkaitan untuk menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-19, yang bakal berlangsung mulai 19 Ogos ini.

Latihan yang dikenali sebagai Latih Amal Ex Rimau 2017 itu berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur di sini dimulai dengan simulasi 'Table Top Exercise' (TTX), satu aktiviti melibatkan kakitangan utama membincangkan pelbagai situasi kecemasan, di bilik Pasukan Tindakan Krisis (CRT).

TTX yang dilaksanakan bersama oleh Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan dan tindak balas kementerian, agensi dan jabatan berkaitan dalam pengurusan dan pengendalian ancaman keganasan semasa temasya sukan itu.

Hadir sama pada acara itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Najib turut mengikuti simulasi rundingan di Bilik Perundingan dan simulasi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) yang berlangsung secara tertutup dan kemudiannya menyaksikan demonstrasi antikeganasan oleh 69 Komando (VAT69) selama kira-kira 20 minit di padang kawad maktab itu.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dijadual berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini manakala sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Sept depan.

Semasa mengulas mengenaia aspek keselamatan, Khalid berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan tahap tertinggi untuk skuad atlet dan pengunjung sepanjang berlangsungnya temasya dwitahunan itu di semua lokasi.

Seramai 12,000 anggota termasuk pegawai akan ditugaskan menjaga keselamatan dari segenap aspek termasuk di lokasi kejohanan dan tempat tinggal kontinjen yang menyertai kejohanan itu.

"Kita juga mengawal semua hotel tempat penginapan pegawai dan atlet. Saya puas hati dengan persiapan PDRM di bawah NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) bersama-sama pihak agensi keselamatan lain," katanya.

Latihan hari ini merupakan persiapan terakhir PDRM selepas beberapa siri ?table top' dan eksesais di Stadium Bukit Jalil, Langkawi, Kuala Terengganu serta beberapa lagi tempat di Kuala Lumpur termasuk Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi