Kutukan, Perpecahan Orang Melayu Oleh Dr M Lebih Besar

KUANTAN - Kutukan dan perpecahan di kalangan orang Melayu yang dicetuskan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad lebih besar berbanding perkongsian asal usulnya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah, berkata perkongsian oleh Ahmad Zahid hanya peringatan kepada ahli UMNO supaya mengingati dan sedar dengan tindakan Dr Mahathir yang berterusan mengutuk, menghina dan memperlekehkan UMNO dan orang Melayu.

Beliau berkata, timbul juga isu mengatakan Naib Presiden UMNO itu membuat serangan peribadi, namun bekas Perdana Menteri berkenaan itu sering kali menyerang peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta keluarganya sejak 'tidur sebantal' dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

"Beliau pernah menggelarkan Najib 'lanun bugis' malah mengejek isteri pemimpin negara dan terlalu banyak lagi serangan peribadi dilakukannya, tetapi kini mengapa beliau begitu emosional apabila Ahmad Zahid bercakap mengenai kebenaran keturunannya?

"Saya juga pelik mengapa ada pengikut Dr Mahathir yang begitu 'fanatik' sehingga ingin membuat laporan polis, walhal maklumat tercatat di atas kad pengenalan semua orang di negara ini adalah maklumat awam yang tidak sulit, melainkan seseorang itu sedang menyembunyikan identiti sebenar mereka," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Shahar berkata, isu sebenar ingin diperjelaskan Ahmad Zahid adalah Dr Mahathir menggunakan 'status' Melayu itu untuk meraih sokongan demi kepentingan politik peribadi beliau dan keluarganya untuk meneruskan 'Dinasti Tun M' dalam pemerintahan, bukan untuk orang Melayu.

"Sebab itulah beliau kini sanggup 'berpeluk cium', menggenggam erat tangan seterunya DAP satu ketika dahulu dan Lim Kit Siang yang kita tahu memusuhi orang Melayu, hanya untuk berada dalam kuasa.

"Jika benar Dr Mahathir ikhlas dalam perjuangannya untuk bangsa dan negara, lihatlah sejarah beliau yang keluar masuk UMNO sesuka hati dan kini menggunakan PPBM pula untuk memecahbelahkan orang Melayu.

"Rakyat khususnya ahli UMNO perlu melihat perkara ini daripada perspektif yang lebih besar dan apa yang ingin disampaikan Ahmad Zahid, bukannya terpengaruh apabila pembangkang cuba mempolitikkan tindakan beliau hanya kerana takut kebenaran disampaikan itu akan mengikis kepercayaan dan sokongan orang Melayu kepada mereka," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada