Jangan Sensasikan Ucapan Zahid

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno membidas tindakan sesetengah pihak terutamanya pembangkang yang cuba mengalihkan isu sebenar mengenai pengkhianatan dalam Umno dengan mensensasikan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahad lalu.

Menurut Exco Pemudanya, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin, ucapan TPM itu sebenarnya cuba menunjukkan contoh bagaimana seorang individu iaitu Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamed mempergunakan Umno selama 22 tahun untuk memenuhi agenda politik dan kepentingan diri serta keluarganya.

Jelas beliau, Ahmad Zahid menggunakan analogi nama Tun M yang kononnya selama ini memperjuangkan Melayu melalui Umno tetapi sebaliknya beliau mempunyai maksud tersirat dalam perjuangannya itu.

"TPM hanya beri contoh tentang manusia yang memperkudakan Umno untuk diri sendiri...masa tengah berada di puncak dulu dia kononnya menjunjung perjuangan parti tapi bila kecewa cita-cita tak tercapai dia kutuk parti habis-habisan.

"Isu utama yang ingin disampaikan TPM adalah mengenai pengkhianatan parti namun isu remeh lain pula yang diketengahkan...begitulah permainan politik licik pembangkang," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Ujar Muaamar lagi, Ahmad Zahid hanya mahu mendedahkan belang sebenar pemimpin-pemimpin kecewa ini yang cuba memanipulasi situasi semasa untuk tujuan menarik undi rakyat.

Katanya, rakyat perlu menilai keikhlasan pembangkang yang melaungkan slogan keadilan, kesamarataan dan keikhlasan sedangkan dalam pakatan mereka sendiri kesemua elemen itu begitu rapuh.

"Kalau nak bercakap pasal isu keturunan dan ketuanan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu dalam pakatan seperti Bersatu, PKR dan Amanah patutnya selesaikan dulu isu rasis yang selama ini dibawa DAP.

"Melayu dalam DAP hanya boneka yang digunakan untuk pancing undi, jangan harap DAP akan bertolak ansur dalam isu kuasa kalau mereka dapat kuasa jadi kerajaan nanti," katanya.

Muaamar berkata, berbeza dengan Umno dan BN yang sudah terbukti cemerlang memperjuangkan nasib Melayu dan keseluruhan rakyat negara ini sejak selepas merdeka sehingga sekarang ini.

"Jangan palitkan pemimpin Umno dengan isu remeh ini kerana selama ini mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa perbezaan kepada rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.

-Sinar Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi