Calon UMNO Belum Dimuktamadkan – Zahid

Senarai calon UMNO yang diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari Badan Perhubungan UMNO negeri seluruh negara masih belum dimuktamadkan sehingga satu kajian bebas secara menyeluruh selesai dilakukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan penilaian akan dilakukan dengan menyorot kewibawaan dan populariti mereka dalam kalangan masyarakat, termasuk yang turut berpotensi tetapi tidak dicalonkan.

Katanya, calon-calon yng bakal dimuktamadkan nanti berdasarkan tahap penerimaan masyarakat dan keupayaan de­ngan penjenamaan yang baik ke arah membawa kemenangan kepada parti sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi.

“Bagi calon-calon yang mewakili parti komponen Barisan Nasional pula, perkara itu dise­rahkan kepada presiden parti masing-masing dengan menggunakan metadologi yang sama,” ujar beliau.

Beliau selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Kuala Nerus di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan, kepemimpinan parti tidak akan memilih calon-calon yang hanya disukai oleh kalangan pemimpin di negeri tetapi sukar diterima oleh rakyat.

“Calon (yang disenaraikan) itu tidak semestinya calon dimuktamadkan kerana ia hanya dimuktamadkan apabila kajian bebas dilakukan dengan melihat jiwa dan nurani serta minda rakyat, berasaskan calon berpotensi dan disukai rakyat. Kita terpaksa me­lakukan perkara itu,” tegasnya.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan pemimpin negeri agar mengambil kira segala faktor yang boleh membawa ke arah memperkasakan parti dan membawa kemenangan.

“Untuk kekal sebagai pemim­pin di atas, kita kena ambil tahu kebajikan pihak di bawah. Kalau mahu UMNO kekal perkasa, jangan pilih bulu, jangan pilih cawangan, jangan pilih yang menyokong dan tidak menyokong, Kita kena ambil peduli kepada semua di bawah,” ujarnya.

Sementara itu merujuk kepada Kuala Nerus beliau berkata, pres­tasi dalam PRU-13 amat menye­dihkan dengan hanya menang satu kerusi dan kalah tipis di tiga lagi kerusi DUN dan Parlimen.

“Sebab apa perkara ini berlaku? Mungkin ada masalah dalaman ketika itu. Minta Menteri Besar selesaikan,” ujarnya sambil mengharapkan supaya perhatian turut diberikan bagi melibatkan bekas-bekas pemimpin untuk bersama membantu membawa kemenangan,” ujarnya.

Katanya, semangat yang diperlihatkan pada hari ini berkobar-kobar dan luar biasa yang mencerminkan kesatuan hati dengan kehadiran kira-kira 7,000 ahli me­lalui usaha yang diterjemahkan oleh Ahmad Razif Abdul Rahman.

-Bicara Rakyat

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada