Bukan Sifat Melayu Khianati Bangsa

Mesej utama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya, Ahad lalu, meminta ahli UMNO merampas Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tagline yang digunakan ialah 'KALI INILAH KITA AMBIL BALIK SELANGOR' atau 'JANGAN SAMPAI TALAK TIGA'.

Naib Presiden UMNO itu juga mahu ahli UMNO berhenti bertelagah sesama sendiri sebaliknya bersatu menyokong siapa saja yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti.

Tagline yang digunakan ialah 'CUKUP-CUKUPLAH BERTELAGAH' dan 'CUKUP-CUKUPLAH BEREBUT'.

Saya berada di majlis itu dan meneliti setiap butir ucapan yang mendapat tepukan gemuruh kerana hadirin faham apa yang dimaksudkan. Sebaliknya, kenyataan beliau mengenai asal usul Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi berita yang disensasikan terutama di media sosial.

Zahid beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Mesyuarat Penutup UMNO Bahagian Kelana Jaya di Petaling Jaya, Ahad lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad/BH

Hilang akal apabila pemimpin sendiri dicuit

Ini termasuk penyokong UMNO sendiri yang selama ini gentar membuat kenyataan menyatakan sebarang sikap tidak betul Dr Mahathir apatah lagi membela Presiden UMNO.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Zahid ialah jangan peralatkan UMNO demi kepentingan diri sendiri. Setia pada parti. Zahid kata Dr Mahathir guna UMNO untuk kepentingan diri dan keluarga beliau. Setelah dapat digunakan, beliau keluar UMNO dan jadi pembangkang. Malah, beliau bersekongkol dengan DAP, musuh ketatnya selama ini.

Zahid tidak hairan sikap Dr Mahathir sebegitu kerana Perdana Menteri yang memerintah Malaysia 22 tahun bukan asalnya orang Melayu tetapi keluarganya dari Kerala, India.

Itu saja. Tetapi, apa yang terjadi ialah satu kejadian hiruk-pikuk dan keadaan tidak tentu arah dalam media sosial terutama penyokong kuat Dr Mahathir atau mereka yang ingin mengambil kesempatan.

Mereka seolah-olah hilang akal kerana pemimpin mereka dicuit sedikit. Mereka menggunakan isu itu mendakwa Zahid menghina golongan mamak. Bukan begitu.

Mereka seterusnya menghina Zahid dan melabel beliau sebagai rasis dan pelbagai nama lagi.

Malah, ada juga pihak yang mengambil kesempatan dengan menyatakan bahawa Zahid tidak bijak dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein lebih baik jadi Timbalan Perdana Menteri.

Mereka silap kerana yang ditegur oleh Naib Presiden itu hanya hubungan kenyataan Dr Mahathir terhadap Melayu dengan sikapnya sekarang terhadap UMNO. Apa yang Zahid ingin tonjolkan ialah HABIS MADU SEPAH DIBUANG.

Politik kebencian mampu hancurkan negara

Ini bukan sifat orang Melayu apatah lagi menjadi pengkhianat. Malah, pemimpin dan parti yang disuruh ahli UMNO untuk menyelar mereka kini didakap dan ditatang. Ini bukan sifat Melayu. Pasti ada sesuatu yang menyebabkan Dr Mahathir berbuat demikian. Beliau bukan Melayu sejati dan ahli UMNO perlu faham. Itu saja.

Oleh itu, setiap pihak perlu bijaksana dalam meneliti setiap ucapan dan tidak membelasah membabi-buta. Seorang penulis khas dalam Facebook saya menyatakan keadaan di alam maya ini disebabkan 'POLITIK KEBENCIAN' disemaikan oleh pembangkang sejak dulu lagi. Menurutnya , politik kebencian yang ditanamkan oleh pembangkang sejak tahun 2000 kini semakin subur dan mampu menghancurkan negara ini.

Pendekatan politik sebegini yang menggunakan storyboard dan storyline berjaya mempengaruhi rakyat sehingga mengubah keputusan PRU12 dan PRU13 di banyak kawasan yang ada kemudahan internet.

Pihak pembangkang menggunakan tagline seperti 'BN RASUAH' atau 'BN AMALKAN KRONISME' untuk menarik rakyat membenci dan menolak BN.

Sebab itu, tidak hairanlah apabila mereka mempunyai 'storyline' dan 'tagline' sedemikian mereka memperbesar-besarkan sesuatu isu rasuah membabitkan pegawai kerajaan atau orang BN terutama orang UMNO.

Minta maaf, alasan bergurau bila taktik tak menjadi

Sebaliknya jika orang pembangkang yang didakwa di mahkamah istilah yang selalu digunakan ialah kezaliman atau menghalang proses pembongkaran penyelewengan.

Inilah yang dilakukan oleh pembangkang untuk meraih simpati rakyat sedangkan mereka mengamalkan matlamat menghalalkan cara.

Taktik untuk menyebarkan maklumat tidak benar atau separuh benar ada kalanya akan diakhirkan dengan permintaan minta maaf atau menyatakan ia hanya gurauan saja.

Begitu juga isu penyataan nama bekas Perdana Menteri Ahad lalu oleh Zahid diputarbelit demi mencapai matlamat membenci pemimpin kerajaan sepanjang masa.

Pembangkang dan konco-konconya tidak peduli kesan kepada usaha putar belit itu tetapi yang penting rakyat terus membenci pemimpin kerajaan. Terus mual dan meluat.

Kenyataan mengenai nama atau asal usul ini bukan baru kerana ia telah dijaja oleh pemimpin pembangkang sejak dulu lagi termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang dinyatakan oleh Zahid ialah pemerhatiannya kepada bekas Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir sering menyalahkan bangsa Melayu kerana beliau sendiri bukan orang Melayu.

Teguran kepada Dr Mahathir dan bukan orang lain. Tetapi, reaksi yang timbul seolah-olah serangan kepada sesuatu golongan. Katanya hanya Mahathir.

Oleh yang demikian sikapnya terhadap bangsa Melayu amat berbeza apabila setelah 22 tahun diberi peluang sebagai Perdana Menteri dan memimpin UMNO sanggup bersekongkol dengan pembangkang untuk menghancurkan UMNO.

Ini bukan sifat orang Melayu kerana politik kebencian bukan nilai dan cara untuk orang Melayu mendapat kuasa. Melayu juga tidak akan menjadi pengkhianat.

-Penulis adalah Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri
-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada