Tangani Isu Integriti Di Semua Pintu Masuk Negara - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - Isu integriti pegawai dan anggota yang bertugas di semua pintu masuk sempadan negara perlu ditangani dengan sewajarnya agar tidak menjejaskan imej dan menimbulkan prasangka negatif terhadap usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata perkara itu adalah antara syor yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Mengenai Keselamatan ICQS (Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Bukit Kayu Hitam, Kedah, yang dipengerusikannya di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Bagi memperkukuhkan keupayaan semua agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan fungsi masing-masing di kompleks itu, mesyuarat itu bersetuju supaya peralatan pemeriksaan seperti mesin pengimbas diuji keberkesanannya dan memastikan kamera litar tertutup (CCTV) mempunyai resolusi yang tinggi serta berfungsi dengan baik, katanya.

"Ini bagi memastikan pemeriksaan yang terperinci dan berkesan dapat dilaksanakan bagi mengesan sebarang aktiviti menyeludup masuk atau keluar barangan terlarang di kompleks tersebut,"kata Ahmad Zahid dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.

Beliau berkata mana-mana peralatan atau sistem yang telah ketinggalan dalam aspek teknologi juga akan dinaik taraf sejajar dengan perkembangan semasa.

Ahmad Zahid berkata syor lain termasuk mencontohi amalan terbaik aplikasi kawalan sempadan yang dilaksanakan di negara-negara luar untuk dijadikan sebagai penanda aras bagi menambah baik kemudahan sedia ada dan disesuaikan mengikut keperluan domestik.

Selain itu, katanya struktur agensi-agensi penguat kuasa sedia ada akan diperkemaskan termasuk aspek penambahbaikan perundangan dan prosedur operasi standard (SOP) merangkumi SOP koordinasi antara agensi dan SOP pengurusan kargo.

Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat itu memfokuskan kepada aspek kawalan keselamatan di ICQS Bukit Kayu Hitam selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan tahap kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk negara.

Katanya langkah itu juga sebagai persediaan bagi melaksanakan keputusan mesyuarat Kabinet pada 15 Feb lepas yang bersetuju agar pengoperasian di pintu-pintu masuk utama negara dilanjutkan kepada 24 jam sehari bermula dengan ICQS Bukit Kayu Hitam dan ICQS Padang Besar, Perlis.

Bermula 1 Jan 2019, katanya operasi pintu sempadan di ICQS Bukit Kayu Hitam akan dibuka 24 jam sehari apabila fasa kedua projek pembinaan kompleks tersebut siap sepenuhnya pada 31 Dis 2018.

Ahmad Zahid berkata kedudukan ICQS Bukit Kayu Hitam agak berbeza berbanding pintu-pintu masuk utama negara yang lain di mana lokasinya terletak agak jauh daripada garis sempadan di antara Malaysia dan Thailand.

"Ini kerana, wujudnya Kompleks Bebas Cukai, Bukit Kayu Hitam yang terletak berhampiran dengan kawasan sempadan.

"Kemudahan ini memberi peluang kepada pelawat dari luar negara untuk masuk ke kawasan Malaysia bagi membeli barangan di Kompleks Bebas Cukai tersebut tanpa melalui pemeriksaan di ICQS," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Kedah akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tahap keselamatan di ICQS Bukit Kayu Hitam sentiasa terjamin untuk orang ramai.

Ahmad Zahid berkata walaupun kemudahan itu dapat menyumbang kepada ekonomi negara, namun cabarannya kepada agensi penguat kuasa adalah untuk memastikan aspek keselamatan khususnya elemen jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, barang bersubsidi, senjata, migran dan pemerdagangan manusia, tidak dikompromi.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi