Sasar bina 500,000 rumah di tapak kumbahan

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 500,000 unit perumahan awam akan dibina di tapak kumbahan menggunakan teknologi moden dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kediaman berkenaan dibina menerusi kerjasama pintar kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara

Berhad (SPNB) dengan sebuah syarikat swasta. Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perumahan tidak mengumumkan syarikat berkenaan.

Katanya, kerjasama pintar itu sudah mendapat kelulusan dasar pada peringkat Kabinet dan kini pada peringkat untuk perincian, sebelum dimuktamadkan.

Beliau berkata, ia adalah idea kreatif mengurangkan kawasan kumbahan yang menggunakan kawasan besar dengan mengaplikasikan teknologi baharu.

"Teknologi baharu ini memperkecilkan kawasan kumbahan antara lima hingga 10 peratus dari kawasan asal, maka selebihnya 90 hingga 95 peratus digunakan untuk kawasan perumahan awam tanpa berkompromi dengan isu berkaitan kesan kumbahan kepada penduduk.

"Teknologi baharu digunakan juga adalah moden tanpa mengabaikan kualiti persekitaran di mana keselesaan pembeli diutamakan," katanya berucap pada majlis ulang tahun Ke-20 dan sambutan Aidilfitri Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Menara FELDA di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad; Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Pada majlis itu, 37 kakitangan SPNB yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 turut diraikan.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada