RM2 juta baiki Pasar Gantung Tawau




TAWAU - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina semula gerai Pasar Gantung Tawau yang musnah dalam kebakaran pada 14 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri turut mengarahkan pembangunan semula itu dilaksanakan segera bagi membolehkan peniaga di pasar terbabit kembali mencari rezeki.

"Saya dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bahawa gerai yang diusahakan oleh 77 peniaga di Pasar Gantung Tawau, terbakar baru-baru ini. Oleh itu, dengan keprihatinan Ketua Menteri, saya ambil tindakan segera untuk membantu peniaga yang ditimpa musibah ini.

"Saya berharap dengan peruntukan ini, seramai 77 peniaga di gerai itu dapat memulakan operasi semula dengan segera," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Rasmatas di Wisma Rasmatas di sini, hari ini.

Selain Musa, majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Pada 14 Julai lalu, seramai 77 peniaga hilang sumber pendapatan selepas lot gerai mereka yang menjual pelbagai barangan di Pasar Gantung, musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan beberapa premis perniagaan serta hotel bajet di bangunan bersebelahan.

Sementara itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada pemilik Kumpulan Rastamas, Datuk Tahir Picho yang sentiasa melaksanakan amal jariah termasuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara.

"Ini adalah contoh yang baik kerana berkongsi rezeki dengan golongan asnaf atau mereka yang kurang berkemampuan. Kita berdoa semoga rezeki perniagaan Kumpulan Rastamas digandakan," katanya.

Sempena majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Rumah Anak Yatim Ar Raudhah, Tawau dan mangsa yang terbabit dalam kebakaran di Pasar Gantung, baru-baru ini.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi