Rakyat menyampah pemimpin pentingkan kekayaan


KUALA LANGAT - Rakyat menyampah dengan sikap segelintir wakil rakyat UMNO yang ghairah mengaut kekayaan untuk diri sendiri, berbanding berjuang membela rakyat.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata wakil rakyat itu sebelum ini hidup susah serta menggunakan kereta murah, namun hidupnya berubah sekelip mata menjadi kaya.

"Sebelum jadi wakil rakyat, tiada apa-apa (kekayaan). Pemimpin kena ubah sikap dengan mementingkan rakyat, akar umbi dan pengundi.

"Jangan sampai orang menjauhi kita. Semuanya sebab sikap pemimpin UMNO sendiri yang lupa peranan mereka," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Kuala Langat di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz; Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli; Ketua Wanita bahagian, Rozana Kamaruzzaman; Ketua Pemuda bahagian, Jefrizal Mohd Jaafar dan Ketua Puteri bahagian, Asima Beevi Mohd Sali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pakatan pembangkang berjaya menanam kebencian dalam kalangan rakyat terhadap UMNO sehingga parti ini dianggap iblis dan syaitan politik.

"Apa sahaja yang kita lakukan serba tidak kena. Kita dilabel rasuah, salah guna kuasa dan sering menyalahkan pegawai kerajaan sehingga dihadiahkan penyapu.

"Kebencian ini menyebabkan rakyat berpihak ke sebelah sana (pakatan pembangkang)," katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO sepatutnya memberi tumpuan mengubah persepsi rakyat, bukannya banyak membuang masa menyelesaikan isu dalaman parti.

"Seladang patah tanduk apabila bergaduh sesama sendiri. Akhirnya daging seladang dimakan harimau dan keadaan ini yang kita lalui sekarang," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi