Pil Kuda: Malaysia, Thailand Jalin Kerjasama

KUCHING: Malaysia dan Thailand menjalinkan kerjasama dalam memerangi kegiatan penyeludupan dadah, terutama pil kuda yang semakin berleluasa di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai modus operandi digunakan sindiket berkenaan termasuk melalui jalan gajah dan jalan tikus di kawasan sempadan, selain kawasan perairan di negeri berkenaan, khususnya Sungai Golok.

"Kita sudah berbincang dengan Kerajaan Thailand bagi merangka program jangka panjang bagi membanteras kegiatan berkenaan melalui Jawatankuasa Bersama Sempadan (JBC), termasuk hasrat membina tembok kekal memisahkan sempadan kedua-dua wilayah.

"Ini pelan jangka panjang kita, malah saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin untuk mengenalpasti mekanisme bersesuaian berhubung projek pembinaan tembok kekal berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum berlepas pulang ke ibu negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini sebentar tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sebelum itu mengadakan lawatan kerja dua hari ke Sarawak sempena sambutan Aidilfitri dan Gawai.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merangka strategi lebih berkesan bersama Kerajaan Kelantan dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan dan pengedaran pil kuda.

Malah, Ahmad Zahid meletakkan usaha itu sebagai Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan agar kegiatan itu dapat dibanteras secara lebih drastik dalam tempoh terdekat.

"Ini bukan hanya masalah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Kelantan... ini masalah kita bersama. Isu pil kuda ini semakin berleluasa dan membimbangkan. Dulu, hanya sekadar seludup masuk dan edar di Kelantan, namun sekarang sudah mula menular ke Terengganu.

"Justeru, strategi yang lebih menyeluruh dan berkesan perlu dilaksanakan dalam memerangi kegiatan haram ini habis-habisan agar ia tidak terus merosakkan rakyat, khususnya golongan muda," katanya.

Ahmad Zahid mengulas pendedahan BH mengenai kedudukan Kelantan yang dikenal pasti sebagai 'pintu masuk' penyeludupan pil kuda dari negara jiran didalangi sindiket terancang sebelum ini.

Katanya, mekanisme sama juga berkemungkinan digunakan di beberapa lokasi panas di Sarawak, khususnya di Limbang dan Lawas susulan peningkatan kes penyeludupan dadah di kawasan berkenaan.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi