Peserta Parlimen Mahasiswa Boleh Diangkat Jadi Calon - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Peserta Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 boleh diangkat menjadi calon pilihan raya berdasarkan kualiti perbahasan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, pada persidangan kali ketiga ini, peserta berjaya mempamerkan perbahasan yang baik dengan intipati yang berkualiti.

"Malah, mereka lebih baik akhlaknya daripada sesetengah anggota Parlimen" jadi mungkin Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Idris Jusoh) boleh bisikkan kepada perdana menteri mana-mana peserta terbaik untuk dijadikan calon (pilihan raya).

"Oleh kerana perdana menteri seorang pendengar yang baik, mungkin bisikan ini akan didengar,"katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan ramah mesra bersempena persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 di sini, malam ini.

Turut hadir Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 kali ketiga yang berlangsung pada hari ini dan esok menyaksikan penglibatan 209 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya perbahasan berkenaan direkod di dalam hansard seperti tatacara sebenar persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya hansard itu penting untuk rujukan pada persidangan Parlimen Mahasiswa akan datang selain merekodkan usul dan cadangan daripada wakil mahasiswa.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri mahu golongan mahasiswa mengimbangi antara pendidikan formal dan tidak formal supaya menjadi individu yang mampu berdepan cabaran dunia sebenar.

Beliau berkata apa yang dipelajari di luar kampus mampu memberikan pendedahan yang sebenar berbanding teori yang dipelajari di dalam kampus.

"Kebanyakan tokoh-tokoh politik dan korporat lazimnya bukan sahaja mempunyai ijazah kelas pertama tetapi mereka juga aktif dalam pelbagai aktiviti mahasiswa sewaktu di kampus,"katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi