KDN Perhalusi Isu Kerakyatan ADUN Pujut

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperhalusi isu kewarganegaraan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah seterusnya bakal diperincikan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah membatalkan pemecatan wakil rakyat pembangkang itu sebelum ini berhubung isu pemilikan dua kerakyatan.

"Ini termasuk proses rayuan bagi mengenepikan keputusan mahkamah berkenaan. Biar proses ini selesai dulu, kemudian kita bincang tindakan susulan berhubung perkara ini," katanya Beliau berkata demikian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebelum berlepas pulang ke ibu negara, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas perkembangan terkini isu kerakyatan Tiong Choon susulan laporan polis dibuat terhadap ADUN itu oleh penduduk DUN Pujut. Mei lalu, Tiong Choon dipecat oleh DUN Sarawak susulan usul dwikerakyatan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Ke-II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Bagaimanapun, keputusan itu dicabar di Mahkamah Tinggi Kuching oleh Tiong Choon, 7 Jun lalu, yang akhirnya memihak kepada wakil rakyat DAP itu.

Susulan keputusan itu, DUN Sarawak memaklumkan Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid, akan memfailkan rayuan kes berkenaan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh 30 hari yang diperuntukkan.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada