Jangan kacau politik, pembangunan Bagan Datuk: TPM

BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan penduduk Bagan Datuk yang dahagakan pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan perpaduan dalam kalangan penduduk Melayu, Cina dan India perlu diperkukuhkan agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di daerah itu.


"Kita mahu majukan Bagan Datuk dan menjadi nombor satu dalam pendidikan.
"Kita mahu Bagan Datuk ada politeknik, highway (lebuh raya), kolej komuniti, jambatan dan maju di Perak sebab kita sudah bercerai dengan daerah Hilir Perak.
"Cukuplah, dulu orang luar datang tipu kita, (kali ini) biar orang Bagan Datuk tentukan politik Bagan Datuk, kita tidak mahu orang luar campur politik Bagan Datuk," katanya berucap pada Jamuan Mesra Hari Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min di Sungai Tiang di sini malam ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh meminta penduduk di daerah itu agar tidak mendengar fitnah dilemparkan oleh pihak luar yang datang ke Bagan Datuk.
Katanya, pada 29 Julai ini genap dua tahun beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan penduduk Bagan Datuk sudah menunggu selama 60 tahun untuk menyaksikan anak kelahiran daerah itu menyandang jawatan berkenaan.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM200,000 masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil di daerah itu bagi melaksanakan program kelas tambahan.
Beliau juga berjanji akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan untuk memperbaiki tandas dan bilik darjah yang rosak di SJK Cina di Bagan Datuk tahun ini.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi