Jangan cuba lobi jadi calon PRU-14: Zahid

AYER KEROH - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin UMNO di semua peringkat supaya tidak melobi untuk dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu, sebaliknya berkata, beliau bersama Datuk Seri Najib Razak sudah mempunyai maklumat individu yang sesuai untuk diangkat sebagai calon.

Beliau berkata, proses pemilihan calon sudah lama bermula dan kini terserah kepada pucuk kepemimpinan parti untuk menentukannya. "Proses pemilihan (calon) sudah lama bermula, tak perlulah melobi, tak payah.

"Kali ini Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO tidak akan mengambil risiko jika seseorang calon itu tidak dikehendaki oleh rakyat, tetapi dinamakan oleh bahagian (untuk menjadi calon)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam ini.

Lebih 500 perwakilan UMNO menghadiri mesyuarat berkenaan yang membabitkan 58 cawangan di Bahagian Tangga Batu bagi mendengar amanat Timbalan Perdana Menteri.

Turut hadir, Ketua Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam; Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Ahmad Zahid turut menasihatkan kepemimpinan parti supaya tidak mengenepikan cita rasa dan kehendak rakyat, termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, katanya, rintihan orang muda dan golongan veteran juga perlu diambil kira dan diberi perhatian.

"Dalam menghadapi PRU-14, saya berharap BN bukan saja mengekalkan kerusi yang ada, malah perlu memfokuskan untuk menambah (merampas) kerusi yang dimenangi oleh pembangkang dengan meningkatkan jumlah undi," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi