Zahid gesa 'bikers' jaga imej

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengingatkan anggota kelab bermotosikal (bikers) supaya menjaga imej serta mengelak persepsi negatif yang sering dilontarkan masyarakat terhadap golongan itu.



Beliau berkata biarpun bikers mempunyai personaliti dan cara pemakaian yang dianggap sesetengah pihak tidak begitu menggambarkan budaya Malaysia, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengabaikan nilai-nilai budaya dan agama yang sudah lama diamalkan di negara ini.





"Jangan sangka kita bikers tidak berpuasa, bikers tidak solat Tarawih 20 rakaat. Saya biker juga, saya boleh pakai macam ni (berpakaian baju Melayu lengkap bersamping), boleh pakai macam saudara.




"Yang penting, soal budaya...budaya dalam kalangan kita (bikers) kerana penjenamaan yang diberikan masyarakat kepada kita seolah-olah kita ini golongan haprak sedangkan jiwa kita tidak begitu dan kita mesti memperlihatkan imej (murni) itu (kepada masyarakat)," katanya.




Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 600 anggota kumpulan permotoran sempena Majlis Bersahur dan Pelancaran Tabung Insurans Kebajikan Bikers United Club Malaysia (BUCM) di sini malam ini.




Beliau seterusnya berkata aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan BUCM perlu dicontohi dan beliau berharap perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) itu dapat dimasukkan dalam kalendar tahunan sebagai antara usaha mempromosi sektor pelancongan di negara ini.




"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan akan cuba menyelaras dan memasukkan aktiviti pemotoran dalam kalendar tahunan supaya kita boleh bantu MOTAC (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) untuk mempromosi pelancongan dengan bikers dari seluruh dunia boleh berhimpun di Malaysia," katanya.




Dalam majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan dana permulaan berjumlah RM100,000 untuk disalurkan kepada Tabung Insurans Kebajikan BUCM bertujuan membantu anggota pertubuhan itu yang ditimpa kemalangan atau menghidap penyakit kronik.




Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 10 anggota BUCM yang kurang bernasib baik dan juga kepada Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) yang diwakili Madrasah Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat.




-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada