RM10 Juta Laksana Aktiviti Pendidikan Islam

PUTRAJAYA - Sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan di peringkat permulaan bagi memperkasa dan melaksanakan aktiviti pendidikan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu bukan datang daripada kerajaan, sebaliknya daripada beberapa organisasi dan yayasan yang komited terhadap usaha itu.



Selain itu katanya, Institut Pendidikan Guru (IPG) Bangi akan dijadikan sebagai pusat latihan lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) bagi melaksanakan pelbagai program yang dirancang.

"Kita akan bersama dengan kerajaan negeri bagi memperkukuh dan menyelaraskan pendidikan agama sedia ada di peringkat negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembaharuan Pendidikan Islam LEPAI di sini, hari ini.

Sebanyak tujuh resolusi diputuskan pada bengkel selama tiga hari bermula Selasa lalu itu, yang berkaitan pendidikan Islam di negara ini. Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan sebuah sekretariat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang akan dipengerusikan sendiri oleh beliau bagi meneliti semua resolusi berkenaan dan pelaksanaannya.

Katanya, beliau bersama beberapa menteri berkaitan akan menghadap Majlis Raja-Raja bagi mempersembahkan resolusi yang diputuskan itu.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada