Baca al-Quran sepanjang masa : TPM

BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam di negara ini, supaya tidak hanya membaca al-Quran ketika Ramadan sebaliknya dibaca dan dihayati kandungannya sepanjang masa.


Timbalan Perdana Menteri berkata, membaca dan menghayati kandungan al-Quran harus menjadi amalan seisi keluarga kerana kitab itu adalah panduan kehidupan yang tidak pernah berubah sejak ia diwahyukan sehingga sekarang.



"Kita orang Islam hendaklah bukan hanya membaca al-Quran tetapi menghayatinya (kandungannya), bukan hanya memahami tafsirnya tetapi memahami 'asbabun nuzul' (sebab sesuatu ayat al-Quran diturunkan)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Tadarus al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1438H/2017M Kawasan Parlimen Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.



Ahmad Zahid serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya turut menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan itu.



Seramai 1,423 penduduk sekitar Parlimen Bagan Datuk menyertai program berkenaan.



Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, amalan umat Islam yang membaca al-Quran setiap kali Ramadan harus diamalkan pada bulan hijrah lain sekurang-kurangnya sehelai lembaran sehari walau sesibuk mana kehidupan sekalipun, kerana pengalamannya membaca satu juzuk al-Quran biasanya tidak mengambil masa lebih sejam.



Beliau berkata, tiada negara Islam lain yang memberi cuti umum bagi meraikan Nuzul Quran, hanya beberapa negeri di Malaysia yang berbuat demikian.



Cuti yang diberi ini bukan untuk 'shopping' (membeli-belah)... bukan tidak boleh 'shopping' tetapi lebih baik beri tumpuan kepada tadarus dan menghayati al-Quran," katanya.



-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada