Syarikat Disaran Perkenal Dasar Kepelbagaian - TPM

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa dasar sedia ada boleh diubah suai bagi memberi impak lebih besar dalam memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia termasuk cadangan supaya syarikat termasuk yang dimiliki bukan Bumiputera yang mendapat konsesi atau pembiayaan kerajaan memperkenalkan dasar kepelbagaian dalam pengagihan projek.

Katanya, ini bagi menentukan sebahagian projek diagihkan kepada Bumiputera dan agihan itu dibuat secara telus dan berasaskan merit menggunakan pendekatan "bahagi dan bersaing" (carve-out and compete) yang sedia ada.

"Selain itu, syarikat ini boleh juga diminta mengemukakan pelan bagi meningkatkan bilangan Bumiputera dalam pengurusan kanan syarikat masing-masing, selari dengan dasar kepelbagaian yang disebutkan tadi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Makmal Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera Kedua (BETR 2.0) anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata ia antara cadangan yang boleh dibincangkan dalam makmal berkenaan.

BETR 2.0 yang akan diadakan selama tujuh hari itu menumpukan kepada enam makmal yang merangkumi dasar berkaitan pendidikan, pekerjaan, pendapatan, industri kecil dan sederhana, pemilikan ekuiti korporat dan pemilikan kekayaan serta aset bukan kewangan.

Peserta makmal itu terdiri daripada kementerian, agensi, syarikat milik kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, makmal berkenaan juga boleh berbincang mengenai strategi menangani isu modal insan, pekerjaan dan pendapatan, keusahawanan, ekuiti korporat dan pemilikan aset bukan kewangan.

"Bukan semua pendekatan kita memerlukan pembiayaan yang besar. Sebahagiannya mungkin memerlukan kita untuk mengkaji semua dasar sedia ada.

"Malah, saya berpendapat impaknya akan lebih besar sekiranya kita mengubahsuai beberapa dasar berbanding dengan mengadakan program baharu," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi