Jangan masuk campur urusan Islam - TPM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang bukan Islam supaya tidak masuk campur urusan orang Islam di negara ini dengan cuba mengajar mereka cara mengukuhkan undang-undang Islam.

Tanpa menyebut mana-mana undang-undang, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua rakyat Malaysia harus menghormati agama Islam yang tercatat dalam Perkara Tiga Perlembagaan Malaysia.

"Mereka jangan cuba ajar kita bagaimana untuk memperkukuhkan undang-undang agama kita. Kita tidak berhasrat untuk menyentuh agama lain. Tolong hormati agama kami jika mahu kami menghormati agama anda.

"Saya tidak berhajat mahu cabar sesiapa. Tetapi sesuatu yang baik kita mahu laksanakan sebagai kebaikan ummah, perlu ke kita tanya pada orang lain yang tidak satu akidah dengan kita setakat mana harus ambil wuduk?

"Sampai siku atau lengan? Bukan hak mereka untuk ambil tahu, itu ibadah kita. Apatah lagi apabila mereka pertikai bagaimana kita rukuk dan sujud. Saya tidak menyentuh apa-apa perundangan tetapi secara umumnya begitu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Konvensyen MRSM Ulul Albab 2017 di sini, semalam.

Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pembukaan lima lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab baharu di lima negeri, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak sembilan.

Beliau berkata, pembinaan MRSM baharu bertujuan melahirkan lebih ramai huffaz (penghafal al-Quran) dengan sasaran mahu melahirkan sehingga 125,000 huffaz menjelang 2050.

"Kita harap sebahagian daripada 125,000 huffaz ini akan datang daripada MRSM Ulul Albab ini," katanya.

Program Ulul Albab telah diwujudkan di empat MRSM, bermula di MRSM Kota Putra di Terengganu pada 2009; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan (2010); MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang (2011) dan terbaru di MRSM Sungai Besar di Selangor.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada