Usaha Malaysia Kurangkan Residivis Bekas Banduan Diikitiraf Antarabangsa - Zahid

KLUANG - Masyarakat antarabangsa mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam membantu banduan melalui proses pemulihan di penjara, terutamanya dalam mengurangkan kadar residivis yang kini pada bawah sembilan peratus, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kadar residivis atau kesalahan berulang oleh bekas banduan pada tahun lepas ialah pada 8.59 peratus.

"Walaupun kita belum berpuas hati dengan pencapaian yang baik ini, sebenarnya masyarakat antarabangsa mengiktiraf pencapaian kita.

"Terdapat beberapa negara maju, kadar residivisnya berada pada tahap lebih 50 peratus, ertinya banduan yang keluar daripada penjara yang menjalani pemulihan dan hukuman tetapi apabila keluar dari penjara melakukan ulangan kesalahan jenayah, tidak di Malaysia... Alhamdulillah," katanya.

Namun kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, kadar residivis itu mahu terus dikurangkan melalui usaha-usaha menambah baik dan memperkemaskan serta memperkasakan modul-modul pemulihan sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam, dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kewujudan Yayasan Koreksional Malaysia akan memastikan latihan kemahiran yang bersesuaian serta boleh menjadi asas kepada laluan kerjaya selepas penghuni dibebaskan.

Setakat ini, kira-kira 27,000 bekas banduan berjaya menamatkan program pemulihan di luar penjara melalui Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pusat Pemulihan Pemasyarakatan serta rumah perantaraan.

"Selain itu, saya lihat pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam kalangan sekolah-sekolah yang berada di bawah Jabatan Penjara turut memperlihatkan ada penghuni pesalah juvana memperoleh 7A dalam keputusan peperiksaan baru-baru ini," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata meskipun mereka berada dalam penjara dan menjalani hukuman dan pemulihan, penekanan kepada pendidikan agama dan kerohanian harus dipertingkatkan agar mereka insaf dan tidak mengulangi kesalahan yang lalu.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid melancarkan Yayasan Koreksional Malaysia yang diharap dapat mewujudkan peluang bagi lebih ramai banduan mendapat pendidikan tinggi.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Pengarah Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi