M'sia-Indonesia sepakat tangani jenayah perairan sempadan

AYER KEROH - Pasukan Polis Marin dan Polis Air Indonesia (POLAIR) akan bekerjasama lebih rapat bagi meningkatkan keselamatan merentasi sempadan di perairan negara khususnya di Tawau, Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya, Ketua Polis Republik Indonesia (KAPOLRI), Jenderal Polisi Tito Karnavian di ibu negara, semalam.

"Kami setuju pasukan Polis Marin kita selepas ini bekerjasama dengan POLAIR di kawasan Lahad Datu dan lebih khusus di Tawau bersempadan dengan Nunukan dan Tarakan (Indonesia).

"Selain hal keselamatan sempadan, kami juga mencapai kata sepakat meningkatkan kerjasama dalam hal jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah," katanya.

Khalid berkata demikian selepas perasmian Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks KDN Melaka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan dengan Tito itu dibuat selepas beliau memberi surat penghargaan kepada 16 Polis Republik Indonesia (POLRI) dari Pulau Batam, Indonesia sempena Hari Polis ke-210.

Ia susulan kerjasama dua negara itu dalam membantu menyelamatkan mangsa culik di Johor Bahru, Februari lalu.

Khalid dalam kenyataan sebelum ini, pernah mengumumkan penahanan 12 suspek di Malaysia dan enam lagi di Batam sekali gus berjaya menyelamatkan suri rumah yang dikurung dalam sebuah rumah di Pulau Batam selepas diculik dari rumahnya di Johor Bahru sejak 21 Februari lalu.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi