Ahmad Zahid Terima Kunjungan Hormat TPM Somalia

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Somalia, Mohamed Omer Arteh di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu, kedua-dua pemimpin mengambil kesempatan membincangkan pelbagai perkara berkaitan hubungan Malaysia dan Somalia.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, pertemuan itu memberi nafas baru dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan dan pendidikan.

"Selain itu kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," menurut kenyataan itu.

Mohamed Omer dalam rangka kerja peribadi ke Malaysia bermula 9 Mac lalu hingga esok yang juga merupakan kunjugan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri Somalia pada Februari 2015.

Sebanyak RM344 juta direkodkan dalam jumlah dagangan antara Malaysia dan Somalia pada tahun lalu, meliputi pengeksportan produk seperti jentera, perkakasan dan peralatan, logam, barangan elektrik dan elektronik, bahan kimia, barangan kayu, barangan galian bukan logam, besi dan keluli dan petroleum.

Dalam bidang pendidikan pula, terdapat 1,531 pelajar Somalia yang sedang menuntut di Malaysia di mana 715 daripadanya menuntut di universiti awam, manakala 816 lagi di pusat pengajian tinggi swasta.

Sementara itu seramai 16 pegawai Somalia pula telah mengambil bahagian dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) sejak 2016.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pejabat Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan perubatan ke Somalia melalui badan-badan bukan kerajaan dan parti politik di negara ini.

Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan Program Makanan Sedunia di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam membantu negara terbabit yang menghadapi krisis ekoran kemarau sejak tiga tahun lepas.

"Malaysia juga akan mempertimbangkan bantuan mikro kredit kepada golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan rendah di negara itu," menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi