QDF diselaras MKN, JPM bantu pelarian Rohingya

PUTRAJAYA - Dana Pembangunan Qatar (QDF) akan diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi berkaitan bagi membantu 56,135 etnik Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Pengurusan Etnik Rohingya Pemegang Kad UNHCR di Malaysia di Perdana Putra di sini, hari ini.


"Dana ini bagi melaksanakan tiga aspek utama untuk etnik Rohingya pemegang kad UNHCR di negara ini iaitu latihan, pendidikan dan kesihatan yang pastinya dapat memberi kesan positif dalam jangka panjang," katanya dalam kenyataan.

Qatar sebelum ini mengumumkan untuk menyalurkan dana bagi membantu etnik Rohingya di Malaysia ketika lawatan Ahmad Zahid ke Qatar awal bulan ini.

Ahmad Zahid berkata, dari segi latihan kemahiran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah melancarkan Projek Perintis Kebenaran Bekerja kepada 300 etnik Rohingya pemegang kad UNHCR bermula 1 Mac ini di sektor perladangan dan perkilangan untuk tempoh tiga tahun, sementara menunggu mereka pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga.

"Perincian bagi program latihan separa mahir dan mahir, pendidikan anak Rohingya dan skim insurans kesihatan akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada