Menjaga kebajikan tahanan sebahagian daripada kejayaan deradikalisasi

KUALA LUMPUR - Satu daripada aspek penting program deradikalisasi untuk pengganas ialah penekanan yang diberi terhadap kebajikan tahanan serta keluarga mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dalam kebanyakan kes, tahanan merupakan pencari nafkah bagi keluarga, dan penahanan mereka sudah pasti menjejaskan kehidupan keluarga masing-masing.

"Kerajaan telah memastikan bantuan diberi kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban mereka.

"Ini terbukti merupakan satu daripada faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan inisiatif deradikalisasi," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata dalam program pascapembebasan pula, bantuan dan sokongan diberi untuk memastikan bekas tahanan dapat meneruskan kehidupan mereka, tanpa perlu kembali terlibat dengan aktiviti keganasan.

Menurut beliau, kadar kejayaan program deradikalisasi adalah sekitar 97.5 peratus.

"Libat sama merupakan unsur yang amat penting daripada dasar kerajaan, manakala program itu pula disusun ke arah memenangi hati dan minda kumpulan sasaran dengan tujuan untuk menaturalisasikan atau menawan hati mereka," katanya.

Deradikalisasi melibatkan kaedah dan teknik yang diguna pakai bagi melemahkan dan mengubah kembali sepenuhnya proses radikalisasi yang telah dilaksanakan bagi mengurangkan potensi masyarakat menerima risiko daripada keganasan.

Ketika berkongsi pengalaman Malaysia, Ahmad Zahid berkata pendekatan "lembut" yang diamalkan dalam urusan deradikalisasi adalah berlandaskan pengubahsuaian dan suai padan yang dilakukan pada zaman Darurat dahulu.

Menyentuh pendekatan Malaysia dalam perkara itu, beliau berkata memang telah diperakui bahawa program deradikalisasi dan strategi memerangi radikalisasi merupakan faktor penting yang mendasari kejayaan memerangi pemberontakan pengganas komunis ketika itu.

Peristiwa Memali pada 1985, angkara Al-Maunah (2000), Kumpulan Mujahidin Malaysia (2001) dan pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu (2013) adalah antara cabaran besar yang dihadapi negara ini daripada puak radikal pelampau agama, selain pengganas yang didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Ahmad Zahid berkata Malaysia sedia berkongsi modul bersepadunya dalam program pemulihan pengganas dengan negara lain dan menjelaskan bahawa program itu telah diterjemahkan ke dalam tiga bahasa - Inggeris, Arab dan Perancis.

"Malaysia tetap berpendapat bahawa penggunaan hukuman dan pendekatan penjenayahan semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan masalah pelampau dan gabungan antara pendekatan lembut dan kaedah konvensional mampu menawarkan alternatif yang lebih baik," katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia mengambil inisiatif bagi penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi bagi menyelaraskan usaha memerangi mesej media sosial radikal dan mengemukakan imej Islam yang sebenar.

"Malaysia percaya satu daripada strategi penting bagi memerangi pelampau Islam bersikap ganas adalah dengan menghapuskan putar-belit dan pembohongan tentang agama dan mengemukakan semula naratif tentang Islam bagi menyampaikan mesej secara jelas," katanya.

Beliau berkata kemajuan teknologi komunikasi maklumat mewujudkan dunia tanpa sempadan dan memberi manfaat kepada masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, teknologi itu juga disalah guna oleh penjenayah dan pengganas untuk menyebarkan propaganda tentang ideologi mereka, merekrut anak muda yang terdedah kepada pelbagai kelemahan untuk tujuaan salah dan melakukan serangan ganas.

Ahmad Zahid berkata golongan itu menggunakan Facebook, Twitter, YouTube, emel, WhatsApp dan Telegram sebagai alat untuk mengindoktrinasikan serta menyebar mesej kebencian yang diputarbelitkan.

"Malaysia terus memantau naratif pengganas melalui semua saluran dan media bagi menyekat penganjur sikap pelampau daripada memanfaatkan kaedah serta peluang untuk menjalankan aktiviti mereka, termasuk mengetengahkan ideologi songsang mereka," kata beliau.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada